BREAKING NEWS

Umno/Bn tidak ikhlas dalam membantu mangsa banjir di Kedah


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan Kedah 'lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab membantu mangsa banjir kepada kerajaan pusat', lapor Harakahdaily.

Sebaliknya, beliau berkata Muhyiddin dan Umno hanya inginkan publisiti murahan dalam melakukan misi kemanusiaan.

“TPM kata saya lepas tangan. Pernah pejabat saya hantar surat ke KL (Kuala Lumpur) minta selesaikan masalah? Tak ada. Saya tak pernah tulis kepada PM (Perdana Menteri) tolong saya. Saya tak pernah tulis surat Shahrizat mai tolong saya.

"Dia turun pun pi Tunjang bukan tempat banjir. Kaki kasut dia pun tak basah. Nak cakap apa ...” katanya.

Minggu lalu, lebih 40,000 penduduk Kedah terpaksa dipindahkan apabila rumah mereka ditenggelami air akibat banjir terburuk dalam sejarah negeri itu. Malah, rumah Azizan sendiri turut ditenggalami air.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut mendakwa bahawa kerajaan negeri 'lembap' dalam memberikan pertolongan kepada mangsa banjir.

Kenyataan Shahrizat dibidas oleh ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang berkata dakwaan Shahrizat itu bersifat melampau tatkala semua agensi kerajaan negeri tengah bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir. Katanya lagi, kehadiran Shahrizat hanya bertujuan untuk mencari publisiti politik.

Di samping itu, Azizan turut mempersoalkan kelewatan Muhyiddin mengunjungi kawasan banjir di Kedah.

“Setelah tujuh hari bencana berlaku, baru (Muhyiddin) datang meninjau mangsa banjir. Air banjir pun sudah surut dan sebahagian (mangsa) balik ke rumah masing-masing. Sepatutnya datang lebih awal, baru nampak situasi sebenar,” kata Azizan.

Malah, menurut beliau timbalan perdana menteri juga telah melawat tempat yang salah untuk mendapatkan maklumat yang betul.

“Kita ada Jawatankuasa Bencana Alam peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, bilik gerakan banjir peringkat daerah termasuk semua agensi terlibat seperti polis, tentera, sektor awam bekerjasama dengan baik. Tiada sentimen politik langsung.

“Saya terkilan kerana apa yang disebarkan tidak betul. Sepatutnya datang negeri orang, kenalah tanya saya dulu mengenai perkembangan terkini. Bukan buat andaian semata-mata,” katanya lagi.

Selain itu, Azizan turut mengkritik kehadiran Muhyiddin ke negeri itu yang disambut dengan bendera-bendera BN di Stadium Sultan Abdul Halim.

"Pasang bendera BN di Stadium Sultan Abdul Halim ketika Muhyiddin nak turun. Maka jadilah lebih publisiti daripada misi kemanusian. Saya datang tak ada bendera PAS atau Kedah iring saya," sindir Azizan.-mkini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails