BREAKING NEWS

PAS banyak berubah dan lebih relevan berbanding Umno


KUALA LUMPUR, 17 Okt — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin muncul pada forum anjuran Umno malam tadi sambil berkata, PAS seolah-olah memperlihatkan ia banyak berubah berbanding dengan parti dominan Barisan Nasional (BN) itu sepanjang dua dekad yang lalu. Kata beliau (gambar) perubahan mengikut peredaran masa itu dapat dilihat dengan ketara khususnya sejak selepas pilihan raya umum ke-12.
Sehubungan itu menurut beliau, Umno yang ada sekarang dilihat tidak lagi menjaga dan mengangkat hal-hal berkaitan agama Islam.
Malah kata beliau, Umno tidak boleh jadi parti yang membawa sentimen perkauman, sebaliknya perlu menjadi lebih matang dalam membuat keputusan.
“Umno tidak boleh jadi (parti membawa sentimen) perkauman, sebaliknya Umno perlu lebih matang dalam membuat keputusan. Jangan membuat perkara yang boleh membahayakan diri sendiri,” katanya.
“Kalau dulu Umno boleh dikatakan mendahului dalam banyak perkara termasuk dalam hal-hal agama.
“Tetapi sejak kebelakangan ini selepas pilihan raya umum ke-12, saya lihat isu yang dibawa Umno gagal mengangkat Umno di peringkat global.
“Isu yang dibawa Umno hanya setempat, saya tidak tahu macam mana Umno menyusun ulama-ulama mereka,” katanya.
Sebagai contoh kata beliau, dalam isu bukan Islam masuk masjid, doa untuk bukan Islam dalam khutbah dan juga isu wang ihsan, ia tidak menunjukkan identiti Umno yang sebenarnya.
“Saya dukacita dengan apa yang berlaku dalam isu-isu tersebut, apabila pemimpin-pemimpin Umno (kata) tidak boleh sedangkan banyak bukti mengatakan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum Kursus Kepimpinan Kelab Umno Luar Negara di bawah tajuk “Menjana Modal Insan Ulul-Albab di Peringkat Global” di sini malam malam tadi.
Beberapa jam sebelum pandangan Asri itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.
“Bukan sahaja kita perlu Model Ekonomi Baru, kita mungkin perlu Model Politik Baru,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di Seri Perdana.
Najib, yang juga Presiden Umno berkata strategi seperti “politik pembangunan” tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.
“Saya kira mengapa orang menolak parti-parti yang banyak berjasa dahulu kerana parti itu tidak berubah. Parti itu dilihat sebagai kaku dan tidak dinamik. Mereka tidak berubah mengikut masa.
“Tetapi sebaliknya kalau kita berubah dan kita dilihat sebagai parti yang dinamik dan segar, Insya-Allah sokongan rakyat pada kita akan berterusan pada masa-masa akan datang,” katanya.
Asri juga menegaskan PAS yang dulu begitu menitikberatkan soal agama sudah berubah mengikut peredaran zaman, tetapi Umno dilihat kembali ke masa lalu.
“Kita lihat sekarang PAS sudah berubah dan banyak melakukan kelonggaran dalam beberapa isu tapi nampaknya Umno menjadi seperti PAS semasa tahun 80-an dulu.
“Umno tidak boleh jadi perkauman, sebaliknya Umno perlu lebih matang dalam membuat keputusan. Jangan membuat perkara yang boleh membahayakan diri sendiri,” kata beliau yang pernah disebut-sebut akan menyertai Umno tetapi telah menegaskan tidak akan menjadi ahli mana-mana parti buat masa sekarang.
Asri juga mendakwa sikap pemimpin Umno yang ada sekarang merupakan punca rakyat terutamanya orang Melayu sudah bosan dan tidak lagi menyokong parti Melayu itu.
Beliau berkata pemimpin Umno dilihat lebih menjaga kepentingan peribadi masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Apa yang berlaku sekarang kita lihat Umno sudah mula hilang sokongan kerana sikap peribadi pemimpin-pemimpin mereka iaitu sikap sombong dan cara pengurusan negara yang menyebabkan rakyat mula tolak Umno.
“Rakyat terutamanya orang Melayu tidak membenci Umno atau formula yang digunakan Umno selama memajukan negara ini tetapi adalah kerana sikap pemimpin mereka.
“Umno perlu betulkan semua ini, jika tidak mereka akan kehilangan sokongan orang bukan Melayu dan juga orang Melayu,” katanya
Dalam ucapannya itu, Asri juga menegaskan parti-parti politik di negara ini perlu melahirkan lebih ramai individu yang berpengetahuan luas ataupun Ulul-Albab.
“Ulul-Albab adalah golongan yang mempunyai pengetahuan yang matang di mana mereka bersedia mendengar dan kemudian pilihan yang terbaik cuma selama ini ia tidak diangkat oleh kepimpinan negara.
“Justeru, parti politik yang bertanggungjawab adalah parti yang menjadikan rakyat sebagai bangsa Ulul-Albab iaitu rakyat yang berpengetahuan.
“Bukan pemimpin yang hanya menyuruh rakyat mengikut telunjuk mereka walaupun apa yang diikut itu sememangnya salah,” katanya.
Kursus selama dua hari itu disertai kira-kira 200 perwakilan pelajar luar negara dan juga pemerhati.
Turut hadir anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertindak sebagai moderator, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Ibrahim Ahmad.
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails