BREAKING NEWS

19 kelongsong peluru ditemui di kawasan Aminulrasyid ditembak


SHAH ALAM, 12 Okt — Sebanyak 19 butir peluru ditemui di kawasan perumahan di Seksyen 11 di sini  tempat di mana remaja Aminulrasyid Amzah, 15, ditembak mati oleh anggota polis enam bulan lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam diberitahu hari ini.
Empat saksi memberi keterangan di mahkamah hari ini, hari pertama perbicaraan. Perbicaraan akan berlangsung sehingga 11 November ini.
Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga petang ini selepas jurugambar forensik polis Mokhtar Hussein memberikan keterangan.
Pada 10 Mei lepas, Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu pagi tadi, perbicaraan kes bermula dengan seorang anggota polis dipanggil untuk menceritakan apa yang terjadi pada malam kejadian.
Saksi pertama perbicaraan hari ini adalah Lans Koperal Mohd Sabri Salleh dari Balai Polis Shah Alam.
Dia berkata dia menerima panggilan daripada kereta peronda yang dinaiki Jenain pada pukul 1.45 pagi memaklumkan bahawa sebuah kereta Proton Iswara putih sedang memecut dan enggan berhenti.
Kereta peronda berkenaan memohon bantuan Mohd Sabri bagi menghentikan kereta tersebut dan memaklumkan sedang mengejar kereta itu dari Hotel Concorde ke Bulatan Kayangan.
Dia kemudian menghubungi telefon bimbit Jenain dan dimaklumkan bahawa kereta Iswara itu hilang kawalan dan pemandunya cedera di Jalan Makyong 11/2.
Mohd Sabri kemudian berkata, Jenain menyuruhnya menghubungi ambulans untuk membantu pemandu kereta Iswara itu.
Detektif Lans Koperal Ahmad Zamzani Abdul Wahab yang dihantar ke tempat kejadian berkata, dia mengambil 41 gambar kereta Iswara itu dan Aminulrasyid termasuk peluru, pokok patah dan juga jalan.
Jenain diwakili oleh peguam bela Salim Bashir manakala peguam veteran, Karpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Aminulrasyid.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan Mohd Dusuki Mokhtar, lima saksi akan dipanggil dan dijangka perbicaraan itu akan mengambil masa selama 11 hari.-themalaysianinsider

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails