BREAKING NEWS

Kehilangan Sosilawati: Polis Ada Petunjuk, Yakin Dapat Temui Jutawan Kosmetik Itu

SHAH ALAM: Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada Selasa berkata pihaknya telah mempunyai maklumat berhubung kehilangan pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi sejak 30 Ogos lepas.

Beliau berkata berdasarkan maklumat itu pihaknya yakin dapat menemui keempat-empat mereka.

"Kita ada maklumat-maklumat tertentu. InsyaAllah kita akan dapat jumpa mereka ...kita ada maklumat," katanya pada sidang media semasa lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sempena persaraannya, di sini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini berhubung kehilangan Sosilawati, 47, dan tiga lagi iaitu peguamnya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu peribadinya Kamarudin Shansudin, 47 dan pegawai CIMB Bank Norhisham Mohammad, 38.

Mengulas lanjut, Musa berkata polis kini menyoal siasat semua anggota keluarga mereka yang hilang bagi mengesan jejak terakhir keempat-empat individu berkenaan termasuk siapa yang mereka bercadang untuk berjumpa pada hari tersebut.

"Buat masa ini kita sedang mencari orang yang nak berjumpa dengan dia (Sosilawati), yang dipercayai seorang peguam yang mengatakan nak menjalankan kontrak penjualan hartanah," katanya.

Musa juga berkata tidak ada tanda mencurigakan ditemui polis pada kereta Sosilawati yang dijumpai di Subang Jaya semalam.

Sosilawati dilaporkan gagal pulang ke rumahnya sehingga hari ini selepas keluar untuk ke Banting, Selangor dipercayai bagi menguruskan jual-beli tanah di sana pada 30 Ogos lepas.

INFO:

Nama: Datuk Sosilawati Lawiya

Umur: 47 tahun

Tempat kelahiran: Sri Medan, Batu Pahat Johor.

Bilangan anak: 6 orang (4 perempuan), (2 lelaki)

- Membuka produk kecantikan Nouvelles Visage pada tahun 1990-an.

- Syarikat beroperasi di Jalan Raja Bot, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

- Berkahwin pada usia 21 tahun (1984) dan berpisah pada usia 34 (1994).

- Memulakan kerjaya sebagai seorang kerani dengan pendapatan RM400.

- Pernah bernikah dengan penyanyi Nash pada 16 November 2006 dan bercerai talak satu pada 16 Mei 2009.

- Ditangkap khalwat pada 1 Januari 2010 tetapi beliau mendakwa sudah berkahwin dengan pasangannya di luar negara. Mereka ditahan oleh pihak masjid Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diberi tauliah penguatkuasaan mencegah maksiat dan khalwat oleh JAIS.

- Ibu bapanya berasal dari Indonesia dan menetap di Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

- Produk kecantikan Nouvelles Vissages terdiri daripada produk penjagaan kulit seperti pembersih muka, krim kecantikan dan sebagainya.

- Beliau mengembangkan rangkaian perniagaannya sehingga ke Brunei, Singapura dan Thailand serta mempunyai lebih 300 rangkaian stokis seluruh negara.

- Beliau dikatakan mempunyai kekayaan RM 100 juta.

- BERNAMA

1 comment :

Related Posts with Thumbnails