BREAKING NEWS

Raja Azmi dibebas dengan ikat jamin, dibicara 29 November

KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman yang ditahan polis semalam ekoran waran tangkap selepas gagal menghadiri kes sivil tuntutan tanah Julai lalu, dibebaskan dengan ikat jamin pagi ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Yee Lan membenarkan Raja Azmi dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Justeru kes sivil membabitkan beliau akan didengar pada 29 November ini.
Isteri bekas pemain badminton negara Jalani Sidek itu ditahan semalam selepas datang untuk membuat laporan polis terhadap akhbar yang menyiarkan berita mengenai penglibatannya dalam kes perceraian pemain badminton negara Roslin Hashim.
Raja Azmi, 51, ditahan kira-kira pukul 4.50 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya selepas beliau membuat laporan polis mengenai perkara itu.
Beliau dihadapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang), Jalan Duta di sini.
Pada 12 Julai lalu, Raja Azmi dikenakan tindakan waran tangkap dari Mahkamah Tinggi kerana gagal hadir perbicaraan kes sivil pelanggaran pembelian saham 4.9 juta yang membabitkan sebidang tanah pemberian seluas 35 ekar di Balakong.
Dokumen arahan supaya Raja Azmi hadir ke mahkamah diserahkan di atas cermin keretanya.
Lim menegur Raja Azmi kerana gagal hadir ke mahkamah bagi kes perbicaraan tersebut pada 12 Julai lalu.
“Kenapa anda (Raja Azmi) tidak hadir ke mahkamah pada 12 Julai lalu?
“Adakah anda tahu bahawa anda kena hadir untuk memberikan keterangan?
“Oleh kerana anda tidak hadir pada 12 Julai maka satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap anda selain menyebabkan kes ini terpaksa ditangguhkan,” soal beliau kepada Raja Azmi hadir dengan memakai baju berwarna merah dan skirt labuh berwarna biru.
Turut hadir Jalani dan anaknya Puteri Suraya.
Raja Azmi meninggalkan mahkamah kira-kira 10.50 pagi setelah wang jaminan dibayar oleh Zahrain Aris iaitu kawan Jalani.
Menurut peguam yang mewakili plaintif Su Tiang Joo, anak guamnya Hamzah Abdul Majid mendakwa Raja Azmi dan Jailani bersubahat dengan syarikat pembinaan LBS Bina Sdn Bhd untuk menipunya.
Hamzah yang juga seorang pemaju tanah menamakan Raja Azmi, Jailani, Equal Alliance Sdn Bhd, LBS Bina Holding Sdn Bhd dan Lim Hock Guan (salah seorang pengarah LBS Bina Holding Sdn Bhd) sebagai defendan.-themalaysianinsider

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails