BREAKING NEWS

Ulama bukan umpama mayat hidup


KUALA LUMPUR, 2 Julai: Ulama mesti dijadikan tempat rujukan, bukan hanya disimpan sebagai bahan untuk dipermainkan dan diperkotak-katikkan, umpama mayat hidup.
Justeru, kata Ustaz Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, ulama berhak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat sekiranya sesuatu perkara yang diputuskan oleh pihak yang tertentu jelas sekali bercanggah dengan Al-Quran dan as-Sunnah.
“Inilah dia peranan utama ulama dalam masyarakat, bukan hanya dijadikan sebagai boneka yang hanya membisu tidak bersuara, umpama mayat-mayat yang hidup,” ujarnya yang difitnah menyertai Umno bersama-sama segelintir ulama muda, baru-baru ini.
Jelasnya, ulama berperanan membimbing dan mendidik masyarakat serta menasihati pemerintah sekiranya mereka tidak menjalankan segala tanggungjawab dan amanah mengikut kehendak Islam.
“Jika golongan ulama ini hanya sekadar membisu dan berdiam diri dari menyampaikan ajaran Islam yang sebenar, maka sudah tentulah negara dan masyarakat akan mengalami kepincangan,” katanya.
Menurutnya, Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa mencari ilmu dan mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan kerana ilmu merupakan lilin yang akan sentiasa menerangi kehidupan manusia.
Sehubungan itu, bertanyakan hukum hakam dalam Islam kepada para ulama bukanlah bermakna Islam menafikan atau melarang umatnya agar terus mendalami dan mencari ilmu yang bermanfaat atau berfikir bagi menyelesaikan sesuatu permasalahn yang berkaitan dengan Islam.
Bahkan, katanya lagi Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa bertanya atau merujuk kepada golongan ilmuan sekiranya mereka tidak mengetahui sebagaimana firman Allah di dalam surah an-Nahl, ayat 43 yang bermaksud: Bertanyalah pada golongan yg berpengetahuan agama sekiranya kamu tidak mengetahui.
“Berpandukan pada ayat di atas, sudah jelas lagi bersuluh bahawa ulama merupakan tempat untuk bertanyakan segala permasalahan yang berkaitan agama,” ujarnya.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah s.a.w. riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi yang bermaksud: Barang siapa ditanya mengenai sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, maka Allah akan mengekangnya nanti dengan kekangan daripada api neraka pada Hari Kiamat kelak.
Sebuah lagi hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: Sungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barang siapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama. (Surah Faathir: 28)-harakahdaily

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails