BREAKING NEWS

Kuasa mendakwa harus diberi kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM


 


KUALA LUMPUR, 9 Jun — Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Rasuah berpandangan kuasa untuk pendakwaan kes rasuah harus diletakkan di bawah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan bukan di bawah Peguam Negara.
Pengerusinya Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata cadangan itu yang terkandung dalam laporan yang akan diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bertujuan meningkatkan kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.
“Kita semua tahu SPRM yang ditubuhkan kerajaan hanya mempunyai kuasa menyiasat tetapi tidak mempunyai kuasa mendakwa. Kami berpendapat ini menjadi satu rungutan rakyat yang mengatakan SPRM tidak ada kuasa dan kuasa yang ada terhad sahaja.
“Pendakwaan pula diserahkan kepada Peguam Negara mengikut Perlembagaan negara kita yang termaktub. Kami mencadangkan supaya dipinda Perlembagaan dan memberi kuasa pendakwaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa itu di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau berkata jawatankuasa itu yakin dengan adanya kuasa tersebut, SPRM akan lebih berkesan dalam menjalankan tugasnya membanteras kegiatan rasuah di negara ini.
Berasaskan Perkara 145 Perlembagaan, kuasa untuk memulakan pendakwaan kekal sebagai kuasa Peguam negara.
Selain itu, Mohd Radzi yang juga Anggota Parlimen Kangar berkata pihaknya turut mencadangkan supaya kerajaan menimbang semula permohonan SPRM khususnya daripada segi peruntukan tahunan dan penambahan anggota.
“Kalau dipotong dia (SPRM) punya budget, maka SPRM akan potong jugalah tempoh latihan pegawainya daripada tiga bulan kepada dua bulan. Ini membawa satu perkara yang buruk kepada SPRM. Kalau kita serius untuk memerangi rasuah, kerajaan harus bagi peruntukan yang mencukupi kepada SPRM.
“Kita juga harap kerajaan akan menimbang semula supaya diberikan tambahan keanggotaan dan kita harap SPRM juga diberikan ruang untuk melatih dan mengambil anggotanya sendiri tanpa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.
 Perdana Menteri dijangka membentangkan laporan tersebut pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.
Jawatankuasa itu yang ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2008 bertujuan menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selain menerima laporan tahunan daripada SPRM dan menerima ulasan daripada lembaga penasihat SPRM. – Bernama

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails