BREAKING NEWS

Kerajaan Umno-BN Lepas Tangan, Hutan Simpan Diceroboh


Sebanyak 80 rumah yang tidak memiliki hak milik sementara dikesan  menceroboh hutan simpan Kapar sejak lebih 20 tahun lalu.

Perkara tersebut terbongkar pada lawatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Selangor (PAC) ke Hutan Simpan Kekal Kapar, semalam.

Ahli Jawatankuasa PAC, Lee Kim Sin  berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan ke Hutan Simpan Kapar dan Hutan simpan Raja Musa.

Selain rumah, beliau berkata beberapa binaan lain juga ditemui  di hutan simpan ini.

"Kita dapati ada rumah burung walit yang tinggi dan besar, rumah JPS, deretan kedai makan, tempat paintball. Ini menunjukkan tiada pemantauan dan tindakan tegas daripada Jabatan Perhutanan, Majlis Daerah dan pejabat tanah daerah kuala Selangor.

"Kegiatan-kegiatan ini masih beroperasi walaupun notis sudah dikeluarkan kerana tiada tindakan tegas yang kita nampak," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor harus memantau setiap hutan simpan  di negeri ini supaya pencerobohan tidak berleluasa.

"Laporan Ketua Audit Negara mendapati memang terdapat pencerobohan dan sehingga hari ini, masalah itu belum selesai. Terdapat 46 buah rumah yang diberi geran hak milik sementara.

"Ada juga rumah yang tidak memiliki hak milik sementara ini yang bermaksud menduduki tanpa kebenaran," katanya.

Katanya, perkara ini  berlaku berikutan tiada tindakan tegas ketika pemerintahan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Kita mendapati, mesyuarat exco kerajaan yang lepas telah memberi kelulusan hak milik sementara kepada mereka ini tanpa merujuk kepada Jabatan Perhutanan Selangor.

"Bermaksud pencerobohan ini dibenarkan oleh MMKN pada masa itu tanpa merujuk Jabatan Perhutann. Sepatutnya kawasan ini, sekiranya hendak diberi hak milik sementara mesti diwartakan keluar dari hutan simpanan kekal tapi proses ini tidak dilakukan," katanya.-tvs

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails