BREAKING NEWS

Hadi gesa seluruh kepimpinan PAS kukuhkan Pakatan



KOTA BARU, 11 Jun — Dilihat sebagai mengulangi jaminan pendiriannya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa seluruh kepimpinan PAS agar memantapkan “keserasian dan memperkukuhkan kebersamaan” dalam Pakatan Rakyat. PAS bersama PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat susulan kejayaan mereka dalam pilihan raya umum 2008.
Presiden PAS menegaskan, usaha itu penting sebagai sebagai satu persiapan bagi menggantikan kepimpinan negara yang ada sekarang pada pilihan raya umum ke-13, yang menurutnya bakal dipanggil Datuk Seri Najib Razak bila-bila masa dari sekarang.
“Semuanya dilaksanakan dengan prinsip tahaluf siyasi yang menjadi pegangan PAS, tanpa menjejaskan prinsip perjuangan yang digariskan dalam undang-undang tubuh PAS selama ini,” kata beliau dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS Puat Ke-56 di sini hari ini.
Hadi memberikan jaminan itu tanpa menyebut sama sekali nama “idea kerajaan perpaduan” dengan Umno-BN, yang menjadi perhatian pada muktamar tahun 2008 dan 2009.
Dalam ucapannya bertemakan “Islam Adil Untuk Semua”, Hadi berkata, “di atas pentas politik dalam negara kita pula, semua pihak telah menyaksikan bahawa PAS terus menerus istiqamah melaksanakan tahaluf siyasi sejak dari tahun 1982 di atas nama Islam, dengan pertimbangan hukum berdasarkan kepada al Quran dan sunah, dan bukannya di atas semangat yang sempit, apatah lagi semangat perkauman yang boleh meruntuhkan pemikiran yang waras dalam negara kita.”
Oleh yang demikian kata beliau, pendekatan fekah politik Islam yang dipegang oleh PAS menerusi amalan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat, dengan model Islam yang sebenar akan terus diperkasakan.
“Beberapa siri pilihan raya kecil yang dihadapi bersama oleh parti dalam Pakatan Rakyat, dengan pilihan raya kecil Sibu menjadi yang terkini, telah menjadi medan pengukuhan hubungan antara parti di mana PAS telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerakerja sehingga membuahkan hasil yang boleh mengubah lanskap politik negara,” kata Hadi yang mengetuai PAS sejak 2002.
Dalam ucapannya yang banyak menyentuh usaha memperkemaskan parti selepas dua tahun pilihan raya umum 2008, Hadi berkata, PAS merasa amat berbesar hati dengan perkembangan sangat positif apabila ia bersama-sama dengan rakan Pakatan Rakyat menjayakan konvensyen sulung Disember lalu, dan telah menempa sejarah bermakna apabila telah mencapai kesepakatan dalam tujuh perkara asas.
Antaranya ialah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Kewajipan kita ialah meletakkan perkara ini (tujuh perkasa) atas landasan yang benar dan melaksanakannya dengan istiqamah, bukannya secara slogan tanpa pengisian yang tepat kerana kita tidak boleh menipu rakyat dengan slogan yang manis tanpa amalan yang berasaskan kepada akhlak, adil dan amanah,” kata beliau lagi.
Hadi menambah, slogan yang saban ketika dijana secara kosmetik oleh kerajaan BN sekarang seperti “Juara Rakyat”, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” akan hanya menjadi satu lagi retorik penyedap telinga semata-mata dan tidak lahir dari satu tadjid dan islah menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara kita.
Turut hadir pada majlis perasmian pagi ini ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang, bekas calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim.
Zaid yang merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR menjadi nadi dalam proses merangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diterima 19 Dis lalu.
PAS mengadakan muktamarnya di Kota Baru, secara kebetulan memperingati ulang tahun ke-20 kepimpinan parti itu menerajui Kelantan.
Soal kerjasama Pakatan Rakyat merupakan antara lima rumusan ditekankan oleh Hadi ucapan dasarnya kali ini.
Hadi menyeru seluruh kepimpinan parti di negeri agar memperkemaskan tanzim parti, bersiap sedia menggerakkan jentera dan aktiviti pilihan raya parti, memanafaatkan Institut Latihan Pilihanraya PAS sebagai institusi pilihan raya parti yang mampu melahirkan petugas yang profesional dan bersedia menghadapi cabaran semasa yang kompleks.
Hadi juga menyeru agar semua ahli parti di semua peringkat agar memantapkan akidah perjuangan dan tarbiyah mereka, mengilmukan diri, memahami fiqh siyasah, ikhlas, istiqamah dan sabar, memurnikan tindakan dan sakhsiah, menerusi pelbagai program yang akan diatur.
Selain itu Hadi juga meminta setiap anggota parti agar menunjukkan teladan dan bertindak dengan penuh keadilan Islam, bergerak ke dalam masyarakat di serata ceruk lorong dan penempatan bagi membawa syiar Islam yang syumul untuk menyelamatkan ummah dari kegelapan.
“Bawa dan pimpinlah mereka, didiklah dengan penuh hikmah, sehingga terbuktilah keadilan Islam yang menyeluruh itu kepada madu kita,” katanya.
Presiden itu turut meminta semua peringkat ahli parti untuk menggerakkan cawangan, kawasan, dan negeri dengan pelbagai pengisian serta aktivitinya supaya akhirnya kehadiran PAS dalam masyarakat akan dapat dirasai peranannya.
“Penubuhan cawangan-cawangan baru bersama kepimpinannya yang memiliki iltizam yang tinggi, haruslah menjadi keutamaan setiap kawasan PAS dalam negara kita ini,” kata beliau.-themalaysianinsider

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails