BREAKING NEWS

Freedom House Bidas Kenyataan Dangkal Rais Yatim




Freedom House yang berpangkalan di Amerika Syarikat kurang senang dengan kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim bahawa senarai kebebasan media negara-negara yang dikumpulkannya itu hanyalah satu "laporan kerusi selesa".

Pengarah urusannya, Karin Karlekar meminta Rais untuk menjelaskan secara khusus berhubung perkara yang tidak disenangi atau yang tidak dipersetujui mengenai kajian berkenaan.

Karlekar menjelaskan bahawa persekitaran undang-undang Malaysia dilihat sebagai mengongkong media menurut kaca mata antarabangsa.

"Malaysia juga menghadkan keupayaan blogger dan media online daripada beroperasi,” katanya kepada Malaysiakini, malam semalam.

Beliau mengulas kenyataan Rais di parlimen semalam bahawa Malaysia yang menduduki tangga 141 senarai kebebasan media di dunia ini yang dilakukan oleh Freedom House sebagai “tidak tepat”.

Rais berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang ingin tahu sama ada kebebasan media massa di negara ini masih terhad seperti yang dilaporkan oleh kajian Freedom House.

Rais menafikan perkara berkenaan dan sebaliknya berkata kebebasan media di Malaysia semakin bercambah.

Katanya, kewujudan dua juta blogger di negara ini membuktikan media massa di Malaysia bebas menyiarkan pendapat dan kritikan masing-masing dan piawaian yang digunakan tidak mengikut budaya rakyat negara ini.

Karlekar sebaliknya, menjelaskan bahawa metodologi atau kaedah yang dijalankan oleh Freedom House adalah berdasarkan piawaian yang diterima-pakai oleh negara-negara di seluruh dunia mengenai apa yang ditakrifkan sebagai kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Katanya, piawaian itu dijamin oleh beberapa perjanjian antarabangsa yang Malaysia juga adalah antara negara yang memeterainya.-mkini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails