BREAKING NEWS

Sultan Kelantan Berangkat Pulang Ke Istana Mahkota Dari HUSM


KOTA BARU: Selepas lima hari Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat sini, baginda hari ini dibawa pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian.
Baginda dibawa menaiki kenderaan rasmi Istana Kelantan meninggalkan HUSM kira-kira pukul 5.10 petang.
Turut mengiringi baginda, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Difahamkan tindakan membawa keluar Sultan Kelantan dari HUSM mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
Sultan Kelantan dikeluarkan dari HUSM dua hari selepas peguam baginda memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari hospital itu di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.
Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini kira-kira 11.45 pagi kelmarin menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.
Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan.
Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.
Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.-mstar

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails