MCA dan Gerakan menyelar program "Melayu Bangkit" yang bakal diadakan pada 13 Mei di Terengganu, malah MCA menggesa agar pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang lain tidak menghadiri perhimpunan tersebut.
Jelas, seruan Presiden MCA, Chua Soi Lek ditujukan kepada pemimpin UMNO, agar berpegang kepada gagasan "1Malaysia" yang dijanjikan kepada rakyat. Namun, ketika ditanya semalam dalam sidang media, seandainya terdapat pemimpin yang tetap mahu hadir, Chua Soi Lek menjawab, biarpun kehadiran seseorang mungkin tidak membawa kesan negatif yang besar, tetapi cukup untuk rakyat menilai kelakuan pemimpin tersebut.
Timbalan Presiden Gerakan, Chang Ko Youn pula menggesa agar kerajaan campur tangan untuk menghalang perhimpunan 13 Mei yang berunsur perkauman oleh mana-mana pertubuhan, agar keharmonian antara kaum tidak dijejaskan.
Sambil mengakui bahawa tanggal 13 Mei sebagai detik yang bersejarah, Chang Ko Youn (gambar kiri) mencadangkan ianya harus diperingati dengan bertitik tolak dari perspektif memupuk persefahaman antara kaum, dan bukannya menguar-uarkan marginisasi sesesuatu kaum.
Malah, Chang Ko Youn mempertikaikan, "Kita sering berkata bahawa jangan mengulangi sejarah, namun kita tidak pernah menghormati sejarah, sebaliknya menggunakan sejarah untuk mengancam dan menakut-nakutkan rakyat. Jadi, bagaimana kita mengambil iktibar dari sejarah?"
Pemuda KLSCAH desak PM nyatakan pendirian
Selain itu, pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor yang juga kecewa dengan perhimpunan ini mendesak agar Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said untuk menyatakan pendirian mereka, sama ada mereka menyokong atau tidak perhimpunan tersebut.
Ketua Pemuda KLSCAH Ng Chong Soon menganggap perhimpunan yang dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu dan Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK) ini bertentangan dengan konsep "1Malaysia" yang disarankan oleh PM.
Malah, Ng Chong Soon juga memuji keputusan pemimpin PAS untuk tidak menyokong perhimpunan perkauman tersebut, sebagai kelakuan yang harus diteladani oleh pemimpin politik yang lain.
Dalam satu kenyataan semalam, Ng Chong Soon (gambar kiri) berpandangan bahawa semua isu semasa seperti kenaikan harga barangan, kemelesetan ekonomi, keganasan polis, pencemaran alam sekitar dan lain-lain adalah masalah yang mempengaruhi kehidupan rakyat tanpa mengira kaum atau agama, dan semua slogan berunsur perkauman seperti "Melayu Bangkit", "Cina Bersatu" ataupun apa jua slogan perkauman adalah slogan yang mengelirukan rakyat serta selalu dipermainkan oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab.
Akhirnya, Pemuda KLSCAH menyeru agar semua rakyat bangkit dan menyokong nilai-nilai pluralisme serta hak asasi manusia dan menolak sebarang slogan dan perhimpunan yang berunsur berperkauman.
*Perhimpunan "Melayu Bangkit" telah dibatalkan setelah menerima arahan pimpinan tertinggi negara, menurut Pengerusi GERTAK, Razali Idris.
**Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Tulisan ini dihasilkan dengan mengemaskini beberapa laporan dan kenyataan MCA, Gerakan dan Pemuda SCAH terhadap perhimpunan "Melayu Bangkit".
Post a Comment