"Nilai adalah tetap. Konsisten. Nilai tidak berubah dengan kerana hawa nafsu manusia. Di dalam Islam, nilai baik dan buruk adalah seperti yang ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Di dalam semua agama samawi dan tradisi Asia, terdapat pegangan yang teguh kepada nilai-nilai murni. Tidak ada mana-mana sistem nilai yang meletakkan perkara jelek sebagai baik."
Demikianlah garis yang diletakkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd.Akin (gambar kanan) untuk membezakan antara perjuangan PKR yang "berasaskan nilai", dengan perjuangan Barisan Nasional yang "berkiblatkan kuasa dan harta". Beliau menyampaikan ucapan dasarnya yang bertajuk "Mewarisi Nilai Mempertegas Perjuangan", dalam Kongres Nasional Tahunan AMK ke-6, pagi ini.
"Pada masa kita menjadikan nilai sebagai paksi, kiblat BN hanya kuasa dan harta. Dengan kuasa yang dipegang, mereka merebut kekayaan negara. Mereka merobek perbendaharaan negara untuk kepentingan sendiri. Kekayaan yang dimiliki pula dijadikan senjata untuk membeli sokongan bagi mengekalkan kuasa," tambahnya.
Shamsul: Ezam ketua pelacur politik
Ketika mengulas fenomena "lompat parti", terutamanya Mohd.Ezam Mohd Nor (gambar bawah) yang kini kembali ke pangkuan UMNO, Shamsul Iskandar secara terbuka membidas, "Nafsu mendorong mereka (UMNO-BN) untuk percaya bahawa gerakan ini akan tersungkur apabila pengasas dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan belot. Mereka lupa bahawa perjuangan kita ini berpaksikan nilai dan bukan bertuhankan manusia."
Beliau menyambung, "Hakikatnya pemimpin datang dan pergi. Tetapi perjuangan berpaksikan nilai akan kekal. Kita telusuri sejarah perkembangan Islam di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad salaLlahualaihiwassalam sebagai iktibar. Islam tidak terhenti dan terkubur apabila Rasulullah wafat. Malah jauh sebelum pemergian baginda, apakala khabar angin tersebar ketika Perang Uhud bahawa Rasulullah telah terbunuh, Allah menurunkan ayat 144, Surah Ali-Imran yang bermaksud:
'Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului oleh beberapa Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian kalau beliau pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah)?...'"
Shamsul Iskandar menjelaskan, apabila tiba Rasulullah benar-benar wafat dan ada di kalangan para sahabat yang tidak dapat menerima hakikat tersebut, maka Saidina Abu Bakar as-Siddiq memberikan mereka peringatan daripada ayat tersebut.
Sambil menggelar Ezam (gambar kanan) sebagai "ketua pelacur politik", Shamsul Iskandar berkata, "Tidak semua ahli parti yang bersama dengan perjuangan ini kekal sehingga ke hari ini. Ada yang digoda harta dunia dan ada yang tertekan akibat beban sejarah, lantas memilih untuk menjadi pelacur politik."
"Angkatan Muda Keadilan tidak akan melupakan mereka, tidak akan memaafkan mereka. Kita percaya rakyat juga akan menghukum mereka," katanya.
Sekretariat Keadilan Untuk Anwar
Beliau mengimbas sejarah pertubuhan parti, yang sememangnya berkait rapat dengan apa yang menimpa ke atas Ketua Umum sekarang, Anwar Ibrahim, sebelum mengungkit bagaimana "konspirasi politik" kini berulang menimpa ke atas bekas TPM ini.
"Kita harus membezakan perjuangan yang berpaksikan nilai ini daripada parti politik yang bertuhankan harta dan kuasa," Shamsul Iskandar bersambung, "Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti perjuangan yang berpaksikan nilai. Parti kita terzahir atas gelombang besar Reformasi apabila rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda, mara ke hadapan menentang kezaliman dan menuntut keadilan."
"Bermula dengan penentangan terhadap fitnah dan kezaliman, gerakan masyarakat bertukar menjadi parti politik yang memimpin perubahan. Setelah satu dekad, BN hampir-hampir menghadapi pukulan maut di dalam PRU ke-12," menurut Shamsul.
Beliau menyambung, "Kerana itu konspirasi kedua disusun untuk menganiaya Ketua Umum kita. Para pelakon yang menabur fitnah bertukar. Jika dahulu seorang pemandu, kali ini seorang bekas pelajar yang kecundang dalam pelajaran. Namun plot dan jalan cerita tetap sama."
"Apabila BN gagal menundukkan suara rakyat di dalam pilihanraya, maka mahkamah diperkudakan untuk melaksanakan rancangan jahat mereka. Bukti dan keterangan saksi enggan diserahkan kepada pasukan pembelaan. Pendakwaraya berlagak bagaikan pengganas yang mengintai-intai untuk melakukan serangan hendap. Saksi utama pendakwaan pula memberikan keterangan kejadian berlaku tanpa rela, padahal pendakwaraya pula membuat pertuduhan bahawa kesalahan dilakukan dengan rela."
Untuk menentang kezaliman ini, Shamsul berkata, 'Kita gembleng tenaga segenap lapisan rakyat, tanpa mengira usia atau keturunan, untuk menzahirkan kemarahan rakyat terhadap kezaliman yang berlaku ini di bawah Sekretariat Keadilan Untuk Anwar. Setiap daripada kita mempunyai peranan ibarat kata bidalan lama: Yang buta meniup lesung, yang kurap memikul buluh, yang pekak membakar meriam, yang capek menghalau ayam."
Sampai bila kempen bermodalkan air percuma?
Juga, Shamsul Iskandar mengakui kelemahan yang wujud dalam pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat, tetapi menyarankan agar perbezaan pendapat diuruskan dengan adab dan akhlak yang sebaiknya.
"Pun begitu, pematuhan kepada adab dan disiplin parti tidak seharusnya bermakna kita menjadi kelu dan kaku tatkala berhadapan kepincangan. Seandainya kita melihat kelemahan dan kekurangan, tetapi tidak berdaya mencari keberanian untuk menegur dan menyatakan kebenaran, bermakna kita gagal menjiwai perjuangan. Lebih malang sekiranya yang begini sifatnya ialah anggota Angkatan Muda. Padahal identiti kita, citra kita, adalah sebagai barisan hadapan parti yang memimpin rakyat tanpa rasa gentar atau pilih kasih."
"Kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh bersandar pada kelemahan BN selama ini. Benar, setelah lebih 50 tahun memerintah, masih terlalu banyak yang gagal dilakukan oleh BN. Benar, adalah tidak adil untuk mengharapkan kerajaan yang belum pun genap tiga tahun memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki semua kepincangan yang ditinggalkan BN," katanya.
Biarpun tanpa menyebut nama secara terus, jelas Shamsul Iskandar menyasarkan kritikannya kepada Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, apabila melontarkan soalan, "Sampai bila kita mahu terus berkempen kepada rakyat hanya dengan bermodalkan bekalan air percuma?"
Penghargaan terhadap MP Kapar
Malah, Shamsul merakamkan penghargaannya secara terbuka terhadap S. Manickavasagam (gambar kanan), ahli parlimen Kapar-PKR, yang lantang mengkritik Menteri Besar Selangor dalam isu pasir baru-baru ini, walaupun tidak bersetuju dengan pendekatan yang digunakan oleh Manickavasagam.
Shamsul Iskandar menyeru agar sejarah keruntuhan BN kerana amlan korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) dijadikan pengajaran kepada PKR. "KKN juga menjadikan UMNO-BN bobrok dan ditolak rakyat. Satu-satunya cara untuk kita menyelamatkan parti dan perjuangan supaya tidak terbabas ke jurang korupsi ialah dengan memastikan setiap anggota dan pemimpin menggenggam erat perjuangan berpaksikan nilai."
"Kita tidak boleh menuruti cara lama UMNO-BN. Kita mesti punya keberanian, courage, untuk mencetuskan perubahan dan terus berjuang memastikan perubahan itu berjaya," katanya.
Shamsul Iskandar meneruskan, "Tanya diri kita apa yang sudah diberikan kepada perjuangan ini; kerana perjuangan ini akan memberikan kepada kita manfaat yang tidak terperi. Perjuangan ini yang akan memerdekakan negara Malaysia tercinta ini daripada penjajahan minda oleh BN. Natijahnya nanti kemakmuran akan dapat dikecapi secara adil oleh seluruh rakyat."
Mandat datang dengan yakin
"Kita akan meminta rakyat untuk memberikan mandat kepada kita. Tetapi undi dan mandat tidak akan diberi rakyat sekiranya mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap kita. Sekiranya kita masih teragak-agak; masih takut kepada risiko dan enggan melakukan perubahan; maka masa depan kita suram. Jika begitu keadaannya, kita sendiri yang akan menjadikan ramalan jahat BN sebagai kenyataan," amaran yang diberi Shamsul Iskandar.
"Sekiranya kita terpaksa membersihkan parti ini daripada unsur-unsur anti-Reformasi yang mesra dengan pengamal korupsi, Angkatan Muda Keadilan bersedia," katanya dengan tegas.
"Kita tidak takut dengan risiko. Kita bersedia menghadapinya, sebagaimana kita tidak pernah gentar memerangi rasuah di dalam kerajaan selama ini. Kita bertanya kepada elemen-elemen anti-Reformasi, apakah mereka mempunyai keberanian menghadapi kita?"
-Lim Hong Siang
Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
Post a Comment