BREAKING NEWS

Anggota CWC MIC dakwa UMNO gunakan pendekatan “pembunuhan politik”


KUALA LUMPUR, 25 Mei — Sambil menafikan ia menaja dan menyokong Gerakan Anti Samy Vellu, komponen utama Barisan Nasional (BN) Umno mengingatkan MIC tidak sama sekali menyeret parti itu ke dalam kancah krisis kepimpinan yang dilalui sekarang.
“Jangan seret Umno dalam krisis MIC,” kata Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Rauf menegaskan, Umno tidak pernah terlibat dalam memihak mana-mana ahli atau pemimpin untuk mengeruhkan keadaan dengan menyatakan sokongan agar melakukan perkara menentang kepimpinan komponen BN.
“MCA pun pernah berhadapan dengan masalah, kami tawarkan sokongan untuk menyelesaikan atas semangat sebagai adik-beradik dalam keluarga, jadi Umno tidak mencampuri urusan dalaman (komponen BN),” kata beliau.
Sehubungan itu tambah beliau, apa yang diperkatakan oleh anak Presiden MIC, Vell Paari adalah satu tuduhan tidak berasas sama sekali.
“Tidak, tidak... ia satu tuduhan, kami sendiri ada banyak perkara untuk diselesaikan,” kata beliau dengan mempersoalkan tuduhan sedemikian.
“Umno tidak akan merentasi sempadan hubungan (dengan komponen BN)... itu tuduhan (Vell Paari), tidak benar,” katanya.
Vell Paari, yang dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) lebih seminggu lalu mendakwa Umno menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk mencetuskan huru-hara dalam MIC khususnya terhadap Samy Vellu.
Anak Samy Vellu itu menyatakan demikian mengulas program Gerakan Anti Samy Vellu yang digerakkan oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan yang dipecat dari MIC minggu lalu.
Mugilan mengumumkan kelmarin bahawa kempen itu akan dimulakan Ahad ini.
Vellu Paari, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, sayap pelaburan MIC, mendakwa Umno memperlihatkan teladan tidak sihat dengan bertindak di sebalik tirai menyokong seseorang apabila hubungan Umno dengan Samy Vellu semakin dingin.
Beliau yang juga penasihat Pemuda MIC pusat mendakwa Umno menggunakan ahli dan pemimpin MIC untuk membunuh kerjaya politik Samy Vellu yang memimpin parti itu sejak 1979.
“Apabila anda tidak gembira, anda menggunakan orang dalam parti untuk melakukan semua ini. Ia menjejaskan asas demokrai, semangat Barisan Nasional dan juga keputusan ahli untuk menentukan siapa yang harus menjadi ketua (mereka),” kata Vell Paari, satu-satunya anak lelaki Samy Vellu.
Kelmarin, Presiden Umno dan timbalannya menggesa MIC segera menyelesaikan krisis semasa supaya tidak melemahkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
MIC melihat Umno dari sudut ‘serong’ sejak pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.
MIC dan Samy Vellu secara peribadi telah memprotes langkah pucuk kepimpinan BN memilih calonnya sendiri iaitu Mugilan bertanding di Hulu Selangor.
Calon disyorkan oleh Samy Vellu iaitu timbalannya Datuk G. Palanivel tidak mendapat perkenan Umno dan komponen BN yang lain.
Sebagaimana secara calon keluar berkompromi BN bersetuju dengan nama baru MIC, P. Kamalanathan.
Ketika ditanya sama ada Umno dilihat menyokong Mugilan kerana berkaitan dengan perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor itu, Rauf berkata, Umno menjalin hubungan baik dengan semua orang.
“Umno tidak baik dengan Mugilan sahaja... Umno baik dengan orang, semua parti komponen BN, kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya lagi.
Berhubung soalan sama ada Umno akan menghubungi MIC untuk menjelaskan, Rauf berkata, “tidak, tiada keperluan.”
“Saya pun tidak kisah dengan dakwaan tidak berasas (Vell Paari) itu,” katanya.
Sejak dua minggu lalu MIC berhadapan dengan krisis kepimpinan apabila Samy Vellu menggunakan kuasanya untuk memecat empat pemimpin iaitu Mugilan, V. Subramaniam, K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan.
Samy dan Kumar dipecat semalam — tiga hari selepas meminta Samy Vellu berundur segera bukannya pada suku ketiga tahun depan.themalaysianinsider

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails