BREAKING NEWS

10,000 Orang Dijangka Hadir Perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di PWTC Ahad Ini


PETALING JAYA: Seramai 10,000 orang dijangka menghadiri pelancaran Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)Ahad ini, melebihi jangkaan awal 7,000 orang, dakwa bekas timbalan ketua Pemuda MIC V.Mugilan.
"Pada hari itu, saya kata 7,000 orang tetapi sekarang angka itu telah meningkat kepada 10,000 orang kerana kami sedang mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak," Mugilan berkata pada sidang akhbar di sebuah restoran India di sini hari ini.
Mereka yang dijangka datang termasuk anggota MIC, pemegang saham Maika dan kaum India yang bukan anggota MIC.
Mugilan juga berkata beliau sendiri yang telah menempah Dewan Merdeka di PWTC untuk perhimpunan pada Isnin lepas dan bukan Umno seperti yang didakwa oleh ketua Pemuda MIC T.Mohan semalam.
Oleh kerana dewan tersebut boleh menempatkan kira-kira 5,000 orang, beberapa layar besar akan dipasang di luar dewan untuk yang lain mengikuti perhimpunan itu.
Mugilan, yang dipecat oleh presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu Khamis lepas, mendesak presiden MIC itu berundur Julai ini.
"Pada mulanya, saya mendesak beliau untuk berundur akhir tahun ini tapi sekarang saya telah menukar strategi dan membuat keputusan untuk mendesak beliau berundur pada bulan Julai ini," kata Mugilan.
Katanya, keputusan terbaru itu diambil selepas mendapati sokongan untuk mendesak Samy Vellu adalah "terlalu kuat dan sentimen anti-Samy Vellu ini bagus".
Mugilan berkata beliau akan mengumumkan satu pelan pada pelancaran itu untuk mendesak Samy Vellu berundur lebih awal.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas anggota jawatankuasa kerja pusat K.P.Samy dan G.Kumar Aamaan yang juga dipecat Samy Vellu pada Isnin lepas.
Ditanya jika perhimpunan itu gagal mendesak Samy Vellu membut demikian, Mugilan berkata: "Kami akan memberitahu media bahawa Samy Vellu adalah pemimpin terbaik. Kami akan duduk diam dan menyerah."
Mugilan juga menunjukkan resit penempahan Dewan Merdeka dengan bayaran awal RM5,000 bertarikh 24 Mei.
"Resit penempahan dewan itu atas nama saya, kita telah membuat bayaran awal RM5,000 pada 24 Mei. Saya telah berjumpa dengan orang PWTC pada hari Isnin dan telah menempah sebagai orang biasa," katanya sambil menafikan tuduhan Mohan.
Katanya, resit tersebut telah diserahkan di Balai Polis Dang Wangi bagi memohon permit dari polis untuk mengadakan perhimpunan ituyang belum diterima lagi.- BERNAMA

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails