BREAKING NEWS

Sultan Pahang berkenan meringankan hukuman terhadap Kartika

Kartika Sari Dewi Shukarno tidak akan menjalani hukuman sebatan syarie.
Sebaliknya, menurut laporan AP yang memetik peguamnya, Adham Jamalullail - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersetuju bekas model itu menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat.
Perkara itu dimaklumkan kepada Kartika melalui sepucuk surat semalam yang memaklumkan mengenai keputusan itu.
Surat berkenaan ditandatangani Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu, Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Surat tersebut berbunyi:"Menjunjung titah perintah kebawah Duli Yang Maha mulia Sultan Pahang, saya dengan ini memaklumkan kepada Puan bahawa berikutan daripada Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang yang diadakan pada 3 Mac 2010, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sulatan Pahang selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang telah berkenan memutuskan bahawa sebagai ganti kepada hukuman sebat Puan dititah perintah supaya menjalankan kerja khidmat kemasyarakatan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatima, Kuantan di alamat Jalan Tengku Muhammad, 25050 Kuantan selama 3 minggu mulai 2 April 2010."
Menurut bapanya pula, anaknya juga diperintahkan ke Jabatan Agama Islam Pahang di Kuantan esok.
Shukarno Mutalib (kiri, bersongkok) berkata, beliau dimaklumkan oleh peguam mereka bahawa anaknya diminta melaporkan diri ke jabatan tersebut pada jam 8.30 pagi esok.

“Esok saya akan serah dia (Kartika) pada Jabatan Agama. Katanya untuk jalani kerja-kerja (khidmat) masyarakat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.
Pada 3 Mac lalu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda akan mempersembahkan kes Kartika Sari Dewi untuk makluman Sultan Pahang sebelum perkara itu diputuskan, selepas baginda (Tengku Abdullah) mengadakan perjumpaan dengan model sambilan berkenaan.

Menurut Tengku Abdullah, Kartika Sari Dewi mungkin diampunkan oleh Sultan Pahang dan bebas daripada hukuman itu atau akan disebat dalam tempoh terdekat.
Mengulas keputusan itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Sultan Pahang berkenan meringankan hukuman terhadap Kartika daripada hukuman sebat kepada melakukan khidmat masyarakat atas sebab-sebab perikemanusiaan.
"Itu adalah keputusan atas budi bicara Tuanku Sultan, hak mutlak Tuanku Sultan dan Tuanku Sultan juga membuat keputusan itu atas sebab-sebab perikemanusiaan.
"Dia (Kartika Sari Dewi) bukan diampunkan daripada kesalahan itu, tapi hukuman itu diringankan, ini adalah ehsan Tuanku Sultan,” titah baginda kepada Bernama di Kuantan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengalu-alukan keputusan meringankan hukuman sebat kepada Kartika kepada kerja khidmat sosial.Bercakap di sidang media di lobi parlimen hari ini, Nazri berkata keputusan itu adalah "bagus."

Keputusan itu juga disambut baik oleh menteri berkaitan ehwal Islam Datuk Jamil Khir Baharom yang berkata keputusan itu dibuat mengikut bidang kuasa Sultan Pahang.
Sementara itu, pengarah eksekutif Sister in Islam (SIS), Dr Hamidah Marican berkata, SIS mengalu-alukan keputusan meringankan hukuman sebat kepada Kartika kepada kerja khidmat sosial yang diputuskan oleh Sultan Pahang.-mkini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails