BREAKING NEWS

Siapa Kata Kemelut Politik Perak Sudah Selesai...



Siapa kata kemelut politik Perak sudah selesai walaupun Mahkamah Persekutuan Putrajaya telah mengesahkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang sah pada 9 Februari lalu. Buktinya mudah, bahang kepanasan menjelang esok sudah mula terasa sejak dua minggu lalu. Saya menjangkakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini ada sejarahnya.

Maaf cakap, sebenarnya ini bukan permulaan tetapi lebih kepada rentetan dan gambaran sebenar yang membuktikan bahawa situasi panas di Perak masih kekal. Bezanya ada yang buat-buat tak tahu, ada yang buat-buat tak kisah atau mungkin mengambil sikap malas hendak layan.

Apa yang kita nampak, pelbagai tindakan sudah mula melata. Betul atau tidak tindakan yang diambil kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR), tepuk dada tanya selera.

Walaupun secara fizikalnya ramai yang mula muak dengan isu dan tindakan yang tercetus, tetapi sebenarnya ramai yang suka pasang telinga, buka mata luas-luas sebab hendak tahu apa jadi seterusnya. Setahun lalu PR sanggup buat Sidang DUN bawah pokok, esok di mana pula? Adakah ini satu drama yang sengaja dibuat-buat untuk timbulkan kontroversi?

Barangkali kata pihak pentadbir Kerajaan Negeri, itu kerja dan sifat-sifat orang yang tak bertamadun. Tapi kata PR, itu adalah perjuangan dan perjuangan akan diteruskan. Semuanya kerana mereka orang politik, mereka mahu lakukan ikot kata mereka.

Secara peribadi, saya mahukan Sidang DUN 30 Mac (esok) berlaku dalam suasana yang paling harmoni, paling profesional dan paling bermaruah. Siapa-siapa pun yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam persidangan itu diharap mampu memberikan pulangan yang terbaik kepada rakyat di negeri Perak.

Saya sebagai rakyat mahu melihat persidangan yang berlangsung dapat melahirkan idea-idea dan keputusan-keputusan yang mampu 'memenangkan' rakyat. Benar perjuangan tetap diteruskan tetapi eloklah jika dihiasi dan diwarnai dengan tindakan yang lebih praktikal dan logik. Soal pertikaian pada saya boleh diibaratkan menonton wayang kisah seram bercampur lucu. Di hadapan bertikam lidah, di belakang bertepuk tampar berketawa ria. Rakyat apa cerita?

Saya percaya, rakyat Perak mahukan kelainan pada Sidang DUN kali ini. Bukan sekadar bentang sehari untuk cukupkan syarat kemudian senyap tanpa khabar berita. Jadi, kepada semua Yang Berhormat yang bakal menghiasi kerusi dalam dewan minggu depan, gunakanlah status anda dengan bijak.

Bila bercakap tentang isu politik, saya teringat kisah Hang Tuah dan Hang Jebat. Apa yang berlaku antara dunia politik dengan dunia kepahlawanan 'Hang' lima bersaudara, hampir sama saja. Terpulang kepada anda semua menilainya, namun dari sudut pandangan saya itulah gambarannya.

Sejarah dan legenda itu kadang-kala membuatkan saya tertanya-tanya, siapa lebih hebat siapa lebih layak digelar pahlawan. Dan ada ketika saya lebih senang melabelkan Jebat sebagai pahlawan terulung, dia bukan kaki ampu, dia lakukan atas dasar perjuangan!-sinarharian

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails