BREAKING NEWS

Apabila Najib Dan Gerombolan Gagal Untuk Berubah



Penulis telah mencatatkan beberapa kali bahawa Umno gentar serta gusar dengan Politik Baru. Benar bahawa PRU ke-12 menyaksikan penghakisan sokongan Umno-BN yang paling parah dalam sejarah politik pilihan raya. Tetapi semua itu tidak sepenting satu hakikat tentang wujudnya satu lagi koalisi yang disifatkan sebagai 'kerajaan dalam penantian' (government-in-waiting).

Kalau ada yang marah atau menelah bahawa penulis bersama Pakatan Rakyat terlalu ghairah untukmemerintah kerajaan Persekutuan, sayugia diperjelaskan, penulis tidak berkata perubahan besar akan berlaku pada PRU ke-13 ini. Bagaimanapun tidak pula dinafikan kemungkinannya. Bahkan kebarangkaliannya untuk berlaku tidak pernah sebesar kali ini


Nah, ini hakikat baru yang tidak pernah terjelma dalam telahan unjuran politik negara. Satu dekad lalu, sebutan ini hampir asing bahkan dianggap satu dongengan, iaitu tidak ada parti dan kerajaan yang layak memerintah - bahkana sehingga kiamat, kecuali kerajaan Umno-BN. Kalau ada pun "kerajaan pembangkang" (satu istilah paradoks), ia hanya terbatas di negeri Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimana ia menjadi satu realiti adalah perubahan besar yang berlaku selepas topografi atau landskap politik negara terus berubah setelah tsunami politik melanda ganas negeri-negeri yang selama ini dikuasai Umno-BN di Pantai Barat Semenanjung.

Politik Baru memerlukan definisi semula pelbagai tata-orde perhubungan politik, misalnya amalan federalisme dan suasana legislatif  serta suhu perbahasan di Parlimen, kerancakan persaingan media mengolah lambakan isu dalam usaha mempengaruhi pemikiran awam dalam pasaran bebas idea.

Begitu juga dengan ketelusan dan kebertanggungjawaban, yang menjadi ukuran sehingga tidak apa yang mampu diselindungi oleh akta-rimba seperti OSA, ISA atau Ordinan Darurat.  Hari ini, dalam Politik Baru, kebebasan beragama, jalinan perpaduan dan erti merakyatkan kekayaan  khazanah negara serta pemugaran ekonomi negara tiba-tiba mendapat dimensi baru bahkan lebih bermakna serta bererti lagi.

Umno-BN tidak wajar tertekan dan kaget dengan semua fenomena ini. Benar Umno-BN belum pernah menyaksikan seramai 83 ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat. Tidak juga mereka mengerti untuk menjadi pembangkang di negeri-negeri selain Kelantan dan Terengganu. Sememangnya Umno-BN tidak pantas belajar.

Menghampiri dua tahun sebagai sebuah Kerajaan Persekutuan dalam era Politik Baru, Najib serta kerajaan Umno-BN masih belum menjumpai sentuhan mereka sebagai kuasa yang satu ketika hampir merupakan kuasa absolute, tunggal dan hegemonik. Tidak lagi kini. Tetapi Najib dan Umno-BN tetap semacam 'tidak faham, tidak mahu faham atau buat-buat tidak faham'.

Penulis ingin berkongsi satu telahan tesis. Agak lama juga lontaran ini mahu dibuat tetapiatas banyak sebab ia tertangguh. Tulisan ini dilakukan untuk kebaikan bersama dan kehendaksemangat persaingan demokrasi yang sihat dan matang bagi membawa negara ke mercu prestasi dan garis yang lebih baik.

Najib dan Umno tidak bijak lagi apabila cuba menjatuhkan Pakatan Rakyat dengan serangan kuno dalam era Politik Lama. Benar Umno-BN mungkin boleh berjaya, bahkan sudah pun berjaya  di Perak. Tetapi apa akibatnya? Benar, mereka boleh membeli segelintir peribadi. Betul kerajaan boleh diguling. Tetapi apa risikonya?

Kini Perak akan kekal dalam satu 'standoff', satu 'stalemate' berpanjangan sehinggalah datang waktu untuk kembali kepada Mahkamah Rakyat. Mudaratnya terlalu luar biasa. Wibawa Sultan dan bahkan integriti Istana turut terheret mencemar kedaulatan ra-raja Melayu akibat terjerumus dalam 'real-politik' rakyat.

Benar politik pelbagai parti ala Westminster atau apa pun modelnya mempunyai sifat 'zero-sum' atau 'saling-memusnah'. Pertandingan di mana hanya ada satu pemenang, pada sifatnya memang 'zero-sum' - cukup ganas dan destruktif atau berfungsi memusnahkan lawan.

Umno-BN kini sedar bahawa yang didepani bukan sahaja KeADILan, PAS atau DAP. Umno amat insaf bahawa yang didepani ialah gandingan KeADILan, DAP dan PAS, yang kini merupakan satu politik koalisi, yang disebut Pakatan Rakyat, seperti Barisan Nasional mereka.

Umno-BN pernah bedepan dengan 'mahkluk koalisi' ini pada sesi Parlimen ke-10, tetapi ia mudahdijatuhkan apabila muafakat politik itu sendiri menembak diri masing-masing. Habis bergelempangan sebelum PRU ke-11. Ketika itu, Umno tidak perlu menyerang kerana Barisan Alternatif mati berkonflik sesama sendiri.

Tetapi lain halnya kini. Dahulu DAP tidak mempunyai kuasa di mana-mana negeri. Begitu juga dengan  Parti Keadilan Nasional. Kini semuanya menerajui pemerintahan meskipun dalam semangat dan koalisi Pakatan Rakyat. Memang kuasa bukan segala-galanya. Tetapi yang jelas, kuasa adalah segala-galanya yang mendatangkan keinsafan untuk bersatu bagi mengekalkannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa kuasa pemerintahan adalah pendorong utama kesatuan Pakatan Rakyat, bahkan kuasa ini juga pencetus utama penubuhan Pakatan Rakyat. Lihat sahaja pengalaman di negeri Perak, meskipun kuasa hilang angkara Najib dan Umno-BN, hakikatnya Peraklah yang memantapkan  keteguhan Pakatan Rakyat!

Perdana Menteri Najib akan terus tersilap kalau belum lagi belajar dan sedar bahawa inilah Politik Baru. Kaedah 'peperangannya' pun  wajar ditukar dan strateginya memerlukan pemikiran baru.

Penulis mengesyorkan Najib perlu mendapatkan perunding baru dalam penentuan strategi dan pendekatan perang politiknya. Bukan sahaja melibatkan perunding luar  untuk mengukir sloganindah 1-Malaysia. Sebelum itu biar penulis bersedekah idea supaya ia baik untuk semua.

Telah sampai masanya Najib sedar bahawa rakyat juga turut bosan dengan serangan berterusan bagi menjatuhkan Pakatan. Rakyat mual dengan cara berpolitik khususnya dalam suasana ekonomi yang mandom dan kesulitan terus menghempit rakyat teramai.

Najib serta Umno-BN wajar memahami bahawa kini rakyat terus celek dan mempunyai pengetahuan, kecuali yang masih terperangkap dalam kemiskinan dan terpinggir dari arus pembangunan ICT dan tidak ada capaian terhadap media baru.

Rakyat 'ruang tengah' yang menjadi penentu dalam persaingan PRU ke-13 tidak semestinya penyokong Pakatan Rakyat. Golongan tegar tidak banyak berganjak, sama ada penyokong Umno-BN atau Pakatan. 'Golongan tengah' ini terbuka, bahkan mereka bukan kelompok partisan atau berpihak. Mereka hanya partisan atau berpihak kepada apa yang betul, adil dan yang boleh memajukan pengharapan dan cita-cita mereka.

Mereka terbuka, jauh lagi untuk taksub kepada mana-mana parti atau pemimpin. Semua pihak mereka kritik termasuk pimpinan tertinggi Pakatan dalam PAS, KeADILan atau DAP. Pimpinan negara lagilah teruk mereka belasah!

Penulis menasihatkan supaya sama-sama kita membudaya politik 'zero-sum' yang berpaksikanpertandingan serta persaingan advokasi atau penampilan polisi serta gagasan pemerintahan danpersaingan  keupayaan serta kompetensi pemerintahan dan integriti kepemimpinan.

Politik Baru mahukan pesaing politik dan pelaku utamanya membuktikan kepada rakyat siapa yang lebih mempunya wibawa dan integrti serta kesungguhan dan komitmen untuk memperjuangkan rakyat, sekali gus menjadikan ekonomi berdaya saing yang tinggi dan membawa negara keluar dari krisis seta kemelut yang berpanjangan.

Wajarlah dalam membudayakan Politik Baru yang lebih sihat, matang dan berwibawa, supaya PM Najib dan Umno-BN menghitung kembali segala urus-tadbir yang telah membelakangi tuntutan pemerintahan yang telus, bertanggungjawab dan adil. Bahkan tidak ada cara lain bagi penulis untuk PM Najib membuktikan bahawa beliau komited dengan reformasi dan Perubahan yang serius serta tulen, kecuali dengan memperbetulkan sebahagian besar yang salah dari regim lama.

Kerajaan Umno-BN di bawah Najib mesti berani mengambil langkah drastik bagi memperbetulkan segala kesilapan pemimpin lama Umno. Atas komitmen, keteguhan serta kecekalan inilah akan ditentukan kewibawaan beliau, dan bukannya kerana retorika yang muluk-muluk, ciptaan perunding luar.

Najib mesti menghentikan segera segala kereputan yang  melanda institusi negara akibat pencerobohan berterusan pihak eksekutif. Pertama, institusi kehakiman. Segala yang menjadi bahan lawak dan jenaka dunia perlu segera direformasikan. Contoh jelas ialah tindakan ke atas  syor surahanjaya Kes Video Lingam yang berakhir dengan NFA atau "No-Further-Action" amat memalukan sistem perlantikan kehakiman meskipun kita mempunyai Surahanjaya Perlantikan Kehakiman atau SPK.

Pun begitu, wibawa SPRM yang perlu segera mendapat suntikan reformasi bagi mengelakkan persepsi buruk terhadapnya, sejak dari permulaan penubuhan yang dihantui dengan kes pembunuhan malang mediang Teoh Beng Hock.

Bagi menginstitusikan amalan federalisme yang lebih utuh dan matang, hentikan segera segalaamalan yang mensabotaj amalan demokrasi berpesekutuan dengan menghormati segala hak kerajaan negeri yang termaktub dalam Perlembagaan atau apa jua janji yang termeterai dalam laluan evolusi pembangunan negara. Ini termasuk isu royalti minyak dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang antara lain bersekali dengan 'Vesting Deeds' 1975, atau perjanjian antara Negeri, Pusat dan Petronas yang mentakrifkan hak masing-masing.

Pendukung Politik Baru mahukan pemain-pemain utama politik supaya menghormati segala perjanjian yang telah termetrai dan mendukungi kesucian janji-janji atau akad-akad tersebut sebagai masyarakat yang bertamadun dan bermaruah. Ini tidak mengambil kira sama ada negeri diperintah  di bawah BN atau Pakatan, seperti Kelantan atau Terengganu. Memangsakan rakyat kerana memilih pembangkang adalah politik kuno, usang dan lapuk.

Amat wajar bagi Najib mengetahui bahawa beliau berdepan dengan rakyat yang jauh lebih celekdan berpengetahuan. Pakatan bersedia mengorak langkah baru untuk terus memperbaikki amalan demokrasi di negara ini. Bahkan Pakatan dan rakyat bersedia untuk melakukan lebih daripada itubagi membangunkan negara bertuah ini.

Soalnya, apakah  Najib dan Umno-BN bersedia untuk berubah?  Kalau pun Najib bersedia untuk berubah dengan 1-Malaysianya, ternyata timbalannya dengan sebahagian besar keahlian Umno bersekali dengan Perkasa masih mahu kekal di garis politik lama dan usang, berpaksikan "Ketuanan Melayu". Amat malang!

Tegasnya, Umno sedang menuju kehancurannya, namun apakah negara juga akan turut diheret?
-Dr Dzulkifli Ahmad/detikdaily

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails