BREAKING NEWS

Kalau lebih ramai MP pembangkang hadir, Belanjawan 2010 Kerajaan BN sudah masuk longkang.



MAFIABOSS ONLINE:
KALAU pun Yang Berhormat (sic) Barisan Nasional tidak takut dan tidak hormat kepada bos-bos mereka tetapi takutlah kepada pengundi, pembayar cukai dan rakyat jelata.Tak takut dan tidak hormat kepada bos-bos mereka tak mengapa.Apalah sangat dengan bos. Bos hanya lantik mereka jadi calon. Kalau hari ini bos marah, esok hantar bunga, hantar coklat, kirim salam dan ampu bos dalam media massa selesailah.


Lagipun, bos-bos itu pun di atas fasal disokong di cawangan, bahagian dan negeri oleh para YB. Jadi, engkau garu belakang aku, aku garu belakang engkau. Sama-sama garu dan ampulah.

Tapi dengan pengundi jangan buat macam itu. Dengan pengundi kena takut oleh sebab pengundilah yang pangkah para YB sehingga boleh jadi MP, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Ketua Pembangkang dan Whip dan macam-macam lagi.

Jangan kurang ajar dengan pengundi nanti pengundi ajar YB semua. Ingatlah, ahli dan penyokong parti YB sendiri ramai yang dah meluat dengan akhlak buruk YB semua. Fasal itulah parti YB hampir tersingkir dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Tapi nampaknya YB tak belajar juga. Tidak kiralah sama ada YB laung atau tidak laung cogan kata Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan sama ada YB sokong atau tidak KPI dan NKRA, perangai sebahagian YB nampaknya tetap tidak berubah.

Kalau pengundian belanjawan negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (kerana dia jaga Menteri Kewangan) pun YB buat main-main, apa halnya dengan agenda, rancangan dan aspirasi rakyat jelata?

Kerana akhlak buruk dan sikap tidak bertanggungjawab para YB yang curi tulang, Kerajaan BN hampir-hampir tumbang akibat “undi tidak percaya” terhadap Belanjawan 2010.

Dilaporkan oleh media massa – besar-besaran oleh media alternatif dan kecil-kecilan oleh arus perdana – Belanjawan 2010 diluluskan malam Isnin lalu (14 Disember) dengan tiga kelebihan suara sahaja.

Menurut laporan The Star, daripada 140 YB BN dalam Dewan Rakyat, hanya 66 hadir untuk mengundi menyokong manakala daripada 82 YB pembangkang, 63 hadir untuk menentang.

Nampaknya ramai sekali kaki tuang dan kaki curi tulang di kalangan MP BN – 74 orang. MP pembangkang pun sudah terikut-ikut akhlak buruk ini. Sembilan belas tidak hadir. Kalau lebih ramai MP pembangkang hadir, Belanjawan 2010 Kerajaan BN sudah masuk longkang.

Bagilah apa pun alasan – lewat malam ka, ada kerja lain ka atau balik kawasan ka, tak jadi hal. Yang jadi hal adalah betapa tidak hormatnya kalian-kalian itu kepada tugas dan tanggungjawab pokok iaitu membuat undang-undang.

Adakah kalian yang ponteng itu tidak mendapati Belanjawan Satu Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan penting dan utama?

Kalau inilah akhlak, sikap, sifat dan komitmen begitu ramai wakil rakyat BN, bagaimanakah rakyat jelata, khasnya pengundi, diharapkan akan mengembalikan sokongan kepada BN?

Kalaupun mereka tidak peduli kepada Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, setidak-tidaknya pedulilah kepada pengundi, pembayar cukai dan rakyat jelata. Inilah kontrak kalian dengan pengundi, pembayar cukai dan rakyat jelata.

Saya sengaja panggil anda semua kalian kerana dalam konteks ini, gelaran Yang Berhormat, mengikut ungkapan Inggeris, adalah hogwash.

Terlalu tidak sedap maksud ungkapan itu maka saya tidak akan memberi maksudnya dalam bahasa kebangsaan. Carilah sendiri.

Jelas kalian telah gagal mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian yang berupa inti pati KPI dan NKRA yang sedang diuar-uarkan oleh bos nombor satu kalian.

Saya tutup kes saya. Sumpahlah saya kalau kalian mahu. Saya bayar cukai dan saya tidak pernah tidak mengundi. Kata ungkapan, ada ubi ada batas, ada hari boleh balas.
http://kadirjasin.blogspot.com/

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails