BREAKING NEWS

Shahidan Persoal Kewibawaan PGSM Dalam Isu Mohon Maaf Kepada Dr Asri



PETALING JAYA: Pendirian Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk pertahankan memorandum dan enggan memohon maaf kepada Dr Asri secara tidak langsung menggambarkan kewibawaan persatuan tersebut.
"Kejap nak tarik balik, kejap tak jadi. Bagaimana dengan perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam memorandum mereka? Pendirian tidak tetap PGSM itu menjejaskan kewibawaan mereka sendiri," kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menghubungi mStar Online petang tadi.
Kata Shahidan lagi, apa yang terkandung dalam memorandum PGSM yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agung itu, ada hubungkait dengan soal-soal ibadat dan ianya satu tuduhan yang berat dan serius.
"Semua ini ada hubungkait dengan soal-soal ibadat. Mula-mula mereka setuju tarik balik dan kini tak mahu tarik balik gara-gara pertelingkahan kononnya Dr Asri bocor rahsia memberitahu pihak media. Jadi bagaimana kedudukan perkara-perkara yang mereka dakwa di dalam memorandum itu," kata bekas Menteri Besar Perlis itu.
Katanya lagi, "Seolah-olah PGSM dapat ilham baru pasal ibadat, hari ini lain, besok lain pula. Tuduhan peguam syarie ini libatkan ibadat. Jangan main-main.
"Sekalipun kata Dr Asri mungkir janji, saya sedih kerana polemik ini sepatutnya diselesaikan dengan elok tetapi nampaknya akan berpanjangan. Umat Islam sudah berpecah di peringkat bawah.
"Sekarang ni berpecah di peringkat pemimpin. Lagi dasyat bila ulamak-ulamak pula berbeza pendapat secara terbuka.
"Persoalannya sekarang, di manakah umat Islam boleh bergantung harap lagi. Saya menyeru kepada semua pihak, supaya muhassabah diri. Bermaaf-maafan lah. Selamatkan orang Islam dan perjuangan mereka," jelas Shahidan.
Semalam, satu pertemuan 'damai' telah diadakan di sebuah hotel di pinggir kota.
Dalam pertemuan selama 2 jam itu, satu draf permohonan maaf telah dipersetujui dan ditandatangai oleh pihak PGSM dengan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz dan peguam Dr Asri.
Pada hari Sabtu lepas, Dr Asri telah membuat sidang akhbaar menjawab segala pertuduhan di dalam memorandum PGSM.
Kemuncak dari rentetetan memorandum itu, Dr Asri telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Ahad lalu kerana dikatakan berceramah tanpa tauliah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, Selangor.
Sebelum ini, bekas mufti itu dilaporkan berkata beliau akan mengemukakan saman terhadap PGSM kerana persatuan itu dikatakan membuat beberapa tuduhan terhadapnya dalam satu memorandum bertarikh 12 Oktober lepas kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Namun, Dr Asri berkata perkara itu dianggap selesai jika PGSM menunaikan janjinya menarik balik tuduhan terhadapnya dan memohon maaf secara terbuka.
"Saya tidak ada permusuhan dengan PGSM, jika mereka menunaikan permintaan saya, maka saya akan maafkan mereka," katanya-mstaronline

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails