BREAKING NEWS

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin.


KUANTAN - Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Selangor.

Katanya, Dr Mohd Asri didakwa cuba mengelirukan masyarakat Islam melalui pertikaian mengenai amalan-amalan sunat yang dilakukan umat Islam sebelum ini, di dalam ceramah yang disampaikan.

“Pahang sudah menyedari perkara berkenaan dan tahun lalu, Jaip tidak membenarkan tokoh ulama (Dr Mohd Asri) itu mengadakan ceramah, di sini atas dasar itu.

“Kita tidak mahu masyarakat terkeliru dengan ceramah yang disampaikan mengenai amalan-amalan sunat yang sering dilakukan sebelum ini dan beliau seharusnya menghormati amalan yang diamalkan setiap negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, itu tidak bermakna setiap penceramah perlu mendapat tauliah terlebih dahulu sebelum menyampaikan ceramah di negeri.

“Selagi mereka tidak mempertikaikan perkara sedemikian, tidak timbul masalah dalam soal tauliah atau tidak. Yang penting, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memandang serius isu berkenaan bagi mengelak berlaku kekeliruan terhadap fahaman dan amalan yang dilakukan.

“Kita mempunyai amalan yang dilakukan mengikut dalil yang sahih merujuk kepada kitab yang diperakui.

“Kita juga tidak mempertikaikan ilmu yang beliau ada, namun pendekatan yang digunakan itu, menggambarkan beliau mahu memecah-belah masyarakat dengan isu sensitif dalam ceramah yang disampaikan,” katanya.

Katanya, Jaip juga sudah mengenal pasti beberapa pihak yang mempunyai niat seumpama itu ketika menyampaikan ceramah di negeri ini.

“Jaip sedang mengawasi pihak yang berkemungkinan cuba menyebarkan fahaman yang cuba mengelirukan masyarakat Islam dan penguat kuasa Jaip juga sudah bersedia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya pihak berkenaan meneruskan aktivitinya.

“Saya berharap, masyarakat peka dan tidak keliru sekiranya terdapat pihak yang tampil dan cuba menyampaikan dakwah bertujuan untuk mengelirukan dan mempertikaikan amalan yang diamalkan sebelum ini,” katanya.
Sumber:sinarharian

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails