BREAKING NEWS

Laporan PAC Syor Bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy Dan Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Paduka O.C. Phang Disiasat SPRM.




KUALA LUMPUR, 4 Nov -- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan suapaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Paduka O.C. Phang membabitkan pecah amanah berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan Chan dan tiga surat akujanji oleh Phang, mengikut laporan PAC berhubung PKFZ yang diedarkan di Dewan Rakyat pada hari Rabu.

"Jawatankuasa dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Chan Kong Choy, (bekas) Menteri Pengangkutan dan ketiga-tiga surat akujanji yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar LPK (Lembaga Pelabuhan Kelang) secara tersirat atau bersifat jaminan daripada kerajaan yang meletakkan tanggungan ke atas kerajaan untuk memastikan ada peruntukan yang membolehkan LPK memenuhi obligasinya di bawah Perjanjian Pembangunan.

"Oleh itu, siasatan rapi perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia/Polis Diraja Malaysia terhadap perkara ini kerana ia dikeluarkan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan sepertimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Tatacara Kewangan 1957," kata laporan itu.

Selain itu, tindakan Chan dan Phang juga boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 409 yang dibaca bersama Seksyen 409B Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails