BREAKING NEWS

Khairy layak menerima anugerah pelakon lelaki melayu terbaik

 NIZAR NEWS





Khabarnya lebih 10 ribu (baca: 3000) Pemuda UMNO yang sebelum ini disifatkan sebagai pengecut oleh Ketua DPP Pusat, YB. Salahuddin Ayub telah turun ke jalanan untuk berdemonstrasi. Amarah mereka telah dipamerkan sebaiknya kepada US dan Israel.
Inilah peluang terbaik buat Khairy bagi membina karisma dan imej sendiri di mata orang UMNO khasnya Pemuda UMNO sendiri. Jika dahulu, dia banyak bergantung harap kepada nama bapa mertuanya, namun kini dia perlu untuk bernafas sendiri. Ya, sudah tentu sahaja dia perlu membina kekuatan sendiri setelah karisma Pak Lah "dikoyakkan" semahunya oleh Tun Dr. Mahathir. Itu belum lagi dicampur dengan popularitinya yang merosot akibat kenaikan harga minyak, tarif elektrik dan sebagainya.
Demonstrasi Pemuda UMNO itu bermula dengan perhimpunan di Masjid As-Syakirin dekat Menara Berkembar Petronas selepas solat Jumaat sebelum berarak ke pusat konvensyen itu – tempat berlangsungnya Forum Rantau Asean ke-13 (ARF) yang dihadiri Rice. Setiba di situ, Khairy yang tangan kirinya masih berbalut anduh kerana cedera terjatuh kuda baru-baru ini, meminta Rice keluar dan menerima memorandum bantahan itu. Sambil berjalan ke sana-sini Khairy melaung-laungkan kutukan dan kritikan kepada US dan Israel.
Berdepan Polis merempuh masuk?
Khairy juga meluru masuk ke tempat persidangan, kononnya untuk menghantar memorandum kepada Rice. Perkara yang cukup ajaib adalah beliau hanya ditolak oleh FRU tanpa dipukul ataupun dilemparkan gas pemedih mata. Teringat saya akan peristiwa 'Bloody Sunday' apabila ratusan rakyat dipukul hingga pecah kepala, disembur gas pemedih mata dan air pedih-gatal, disepak dan sebagainya oleh pihak FRU. Ya, nyawa, maruah dan keselamatan rakyat kebanyakan tidak penting bagi polis. Namun, polis mana, dari bahagian mana, SB mana yang berani memukul Khairy si menantu PM semalam? Inilah sikap 'double standard' yang sekian lama diamalkan.
Tepatkah tindakan Khairy mengheret Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional untuk berdemonstrasi? Apakah dia tidak sedar akan kedudukan UMNO-Barisan Nasional dalam negara Malaysia sekarang? Adakah Barisan Nasional sedang memerintah dan berkuasa ataupun menjadi parti pembangkang saat ini? Khairy, mengapa tidak pujuk ataupun "arahkan" sahaja Pak Lah untuk menghalang Rice, Si Pembunuh Umat Islam daripada menjejakkan kaki ke tanah air kita? Namun, jika Rice tidak datang, tiadalah pula peluang untuk menonjolkan diri.
Pemuda UMNO mengutuk tindakan zalim US dan Israel. Tahniah dan syabas kepada mereka. Namun, dalam usaha mengkritik kezaliman orang lain, maka perlu untuk dimuhasabahkan diri sendiri juga. Bilakah agaknya UMNO-Barisan Nasional akan membebaskan semua tahanan ISA yang semakin hari semakin rindu kepada anak isteri? Zalim untuk kita memisahkan suami dengan isteri dan anak-anak mereka. Zalim yang teramat sangat!
Demonstrasi bukan budaya kita
Suatu ketika dahulu, Gagasan MAHASISWA pernah mendengar Dr. Mahathir, legenda UMNO berkata bahawa budaya berdemonstrasi bukanlah budaya orang kita. Malahan beberapa orang pimpinan kerajaan baru-baru ini juga mengulangi bahawa demonstrasi dan tunjuk perasaan bukanlah budaya Malaysia. Jadi, apakah niat dan matlamat Khairy? Mahu menabrak "budaya" kita?
Di tempat yang berlainan pula iaitu di Masjid Kampung Baru, PAS dan gabungan NGOs telah memimpin umat Islam seramai 50 ribu untuk menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika. Namun, seperti biasa sahaja apabila tiada satu pun berita tentang himpunan umat Islam ini dipaparkan oleh media arus perdana. Memang tepat tindakan media untuk tidak menyiarkan berita perhimpunan ini kerana demonstrasi bukanlah budaya "kita".
Akan tetapi, apa jua niat dan matlamat masing-masing semalam kita serahkan kepada Allah S.W.T untuk menilainya. Hanya Allah yang mengetahui setiap yang kita zahirkan ataupun terdetik dihati. Pastinya juga, kita akan terus berdoa buat umat Islam di Palestin dan Lubnan. Diharapkan agar mereka terus kuat dan tegar menentang Yahudi laknat!
Sumber:harakahdaily.net

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails