BREAKING NEWS

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin diseret ke mahkamah.

kemaskini 12.12pm Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dibawa ke mahkamah syariah Gombak Timur hari ini, dipercayai untuk didakwa mengajar agama tanpa tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Beliau berada di perkarangan mahkamah itu sejak 8.45 pagi sebelum dijadual dituduh jam 9 pagi ini.

Bagaimanapun sehingga kini beliau belum dibawa ke depan hakim kerana masih menunggu kehadiran pihak pendakwaan daripada Jais.

Bercakap kepada media di luar mahkamah, Dr Asri berkata pihak berkuasa agama itu menahannya tanpa sebab dan kini sedang memikirkan apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan.

Sementara itu ketua unit perhubungan awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani memberitahu Malaysiakini melalui telefon bahawa Dr Mohd Asri akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.

Mohd Hidayat berkata pendakwaan itu dilakukan berdasarkan aduan-aduan orang ramai terhadap lulusan pengajian hadis itu sejak beliau mula mengadakan ceramah agama di Selangor tiga tahun lalu.

"(Tindakan) ini berdasarkan aduan orang ramai yang keliru dengan ajaran-ajaran yang dibawa (Dr Mohd Asri) dan kita bimbang ini akan memecah-belahkan masyarakat," kata Mohd Hidayat.

Dr Mohd Asri diwakili dua peguam, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais. Sewaktu mereka menyemak dengan pihak pendaftar mahkamah, tiada pertuduhan terhadap anak guam mereka difailkan.

Aktivis NGO terkenal Datuk Marina Mahathir turut hadir di mahkamah, selain ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib turut hadir.

Zuraida dan Saari berada di tempat kejadian sewaktu Dr Mohd Asri ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

Menurut laporan Bernama tengah malam tadi, Beliau dilaporkan ditahan semasa berceramah kira-kira pukul 12.10 tengah malam oleh polis serta pegawai Jais dan kemudian dibawa ke balai polis Hulu Kelang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk Zuraida dan Saari, lapor agensi berita itu lagi.
Sumber:malaysiakini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails