BREAKING NEWS

PELIK BIN AJAIB!! Inkues: Pegawai SPRM tidak catat keterangan Teoh


Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini dikejutkan dengan kenyataan seorang pegawai penyiasat polis yang menyatakan tiada sebarang catatan dibuat oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ketika menyoal siasat Teoh.

Inspektor Mohd Zulaimi Zubir, 29, dari cawangan jenayah ibupejabat polis daerah Shah Alam berkata perkara itu disedari selepas melakukan pemeriksaan ke atas 10 muka surat buku catatan harian rasmi milik pegawai SPRM Mohd Anuar Ismail yang dirampas 18 Julai lalu.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan mengesahkan Mohd Anuar bertanggungjawab menyoal siasat Teoh, lapor Bernama

"Hasil pemeriksaan saya dapati dalam buku bertarikh 8 Julai 2009 tercatat 'rumah/putrajaya/pejabat/tol RM' sahaja. Pada 15 dan 16 Julai tiada sebarang catatan dibuat," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan Tan iaitu dari 1 Julai hingga 18 Julai lalu, adakah hanya terdapat satu catatan sahaja yang beliau nampak, Mohd Zulaimi berkata: "Ya."

Sebelum itu Mohd Zulaimi berkata beliau hanya merampas buku harian milik Mohd Anuar dan buku yang lain dirampas oleh pegawai polis lain.

Dalam prosiding, buku asal itu tidak ditandakan eksibit memandangkan ia masih digunapakai dan hanya salinan dikemukakan tetapi ia telah disahkan oleh Timbalan Pengarah SPRM.

Mohd Zulaimi turut memberitahu beliau juga telah merampas cakera keras rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Masalam dan diarah menyiasat pergerakan Teoh, pegawai SPRM dan individu lain di plaza itu yang dipaparkan dalam rakaman CCTV itu.

Mohd Zulaimi, saksi ke-11 berkata sebelum rampasan beliau telah melihat pergerakan di dalam rakaman CCTV itu dan mendapati terdapat pergerakan Teoh yang memasuki ruang lobi di tingkat 4 pada pukul 6.08 petang.

"Keesokan hari (selepas kejadian), saya diarahkan untuk mengenal pasti pukul berapa si mati masuk, pergerakan pegawai SPRM dan individu lain dalam banguanan dari jam 00:00 15 Julai hingga 7 pagi esoknya," katanya.

Beliau berkata rakaman CCTV itu kemudiannya diserahkan kepada jabatan forensik 18 Julai lalu untuk siasatan lanjut tetapi terdapat beberapa kesukaran untuk mengesan pergerakan kerana masalah teknikal.

Pergerakan Teoh hanya dilihat menerusi salinan yang dibuat melalui 'pen drive' tetapi ia tidak boleh dicetak dan Mohd Zulaimi berkata menerusi bantuan bahagian sekuriti di bahagian Plaza Masalam, sebanyak 47 imej orang keluar masuk pada 16 Julai dapat dikesan.

Katanya, rakaman itu dilihat pada 19 Julai lalu di pejabat keselamatan Plaza Masalam dan bukannya di jabatan forensik Bukit Aman.

Sumber:malaysiakini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails