BREAKING NEWS

50,000 hadiri demo anti-ISA, Sabtu ini

Tinggal dua hari lagi sebelum perhimpunan besar anti-ISA, kumpulan penentang akta itu yakin mendapat sokongan sekurang-kurangnya 50,000 penunjuk perasaan bagi menyatakan bantahan mereka.

"Berdasarkan maklum balas yang kita terima, sekurang-kurangnya 50,000 orang," kata ahli jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Norlaila Othman kepada Malaysiakini hari ini.

Norlaila, yang juga isteri bekas tahanan ISA Mat Sah Mohamad Satray, berkata perhimpunan anti-ISA dijangka mendapat lonjakan sokongan ekoran kematian misteri Teoh Beng Hock baru-baru ini.

"Setakat ini kita dapat sambutan baik, antaranya melalui maklum balas daripada ceramah-ceramah," kata Norlaila lagi.

Tambahnya, pihaknya kini mengambil langkah berjaga-jaga untuk berdepan dengan kemungkinan cubaan pihak berwajib mengambil tindakan awal bagi menggagalkan perhimpunan anti-ISA, Sabtu ini.

"Kita berjaga-jaga sekarang. Kita tidak tolak kemungkinan itu," tambahnya.

Norlaila berkata, GMI dijadual menghantar surat kepada pihak polis hari ini, bagi memaklumkan mengenai perhimpunan berkenaan.

Mengenai "Deklarasi Rakyat" menentang akta itu - yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong - beliau berkata, ia akan diedarkan kepada media pada pagi 1 Ogos ini.

Kumpulan anti-ISA merancang bergerak mulai jam 2 petang dari tiga lokasi - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara - dengan berpakaian hitam dan merah - sebelum bergerak ke Istana Negara.

Pada masa yang sama, kumpulan pro-ISA pimpinan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dengan berpakaian putih pula berkumpul di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Di sana, mereka akan menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki dan berarak ke Istana Negara.


Sumber:malaysiakini


Post a Comment

Related Posts with Thumbnails