BREAKING NEWS

Rakyat Malaysia Melihat Umno Dipimpin Oleh Orang Yang Korup



KUALA LUMPUR, 14 April: Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad pun turut sama menyelamatkan Tan Sri Tajudin Ramli, Umno dan Barisan Nasional (BN) bertambah tidak selamat.

Demikian reaksi spontan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu apabila Dr Mahathir sekali lagi mengakui bahawa adalah sukar bagi BN untuk mendapat majoriti dua pertiga dan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak selamat jika tidak dapat memenangi kerusi yang lebih banyak bagi BN berbanding pilihan raya 2008.

"Tindakan kerajaan mengetepikan arahan mahkamah supaya Tajudin membayar hutangnya dan sebaliknya menghapuskira hutang Tajudin sebanyak RM589 juta menimbulkan kemarahan rakyat terutama para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diburu. Keluarga mereka juga marah.

"Kalau dalam kes pinjaman mudah RM250 juta kepada keluarga (Ketua Wanita Umno, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) kita lihat Dr Mahathir memberikan komen yang tegas, tetapi komennya begitu lunak dalam kes Tajudin dan oleh sebab itulah dia juga dilihat turut selamatkan bekas pengerusi eksekutif MAS itu.

"Perbuatan Umno menyelamatkan Tajudin itu menjadikan Umno dan BN lebih tidak selamat kerana memarakkan lagi api kemarahan rakyat dan memang benar kata Dr Mahathir, parti pemerintah menghadapi masalah mendapatkan majoriti dua pertiga," katanya.

Dr Mahathir sentiasa mengekalkan pandangannya bahawa adalah sukar bagi BN mendapatkan majoriti dua pertiga.

Mohamad juga sangat tertarik apabila Dr Mahathir berkata kedudukan Najib tidak selamat jika tidak dapat memenangi kerusi yang lebih banyak bagi BN berbanding pilihan raya 2008 ketika beliau sendiri mengakui sukar bagi parti pemerintah itu mendapat majoriti dua pertiga.

"Nampak macam Dr Mahathir memberitahu orang-orang Umno supaya menggantikan Najib dengan pemimpin lain jika tidak mencapai prestasi yang lebih baik bagi BN berbanding 2008.

"Saya nampak apa yang dihajati oleh Dr Mahathir itu akan tercapai," katanya.

Mohamad juga tidak hairan dengan kenyataan Dr Mahathir itu kerana beliau diberitahu berkali-kali oleh sumber dalaman Umno dan Perkasa bahawa bekas Perdana Menteri itu memang begitu tidak senang terhadap Najib.

"Tetapi khabarnya Dr Mahathir mahu menunggu selepas pilihan raya dahulu kerana beliau bimbang BN akan kalah pula jika beliau menentang Najib dari sekarang.

"Tetapi kenyataannya tentang kedudukan Najib yang tidak akan selamat kalau tidak mencapai prestasi lebih baik berbanding 2008 itu membuktikan Dr Mahathir sudah tidak sabar lagi untuk bersuara," katanya.

Dalam kenyataan yang dilaporkan oleh Reuters itu juga, Dr Mahathir berkata, Umno tidak lagi sekuat dahulu.

"Zaman saya Umno kuat. Sekarang tidak. Jika anda menyokong orang tertentu, anda akan dapat kontrak, anda dapat segala keistimewaan. Sama ada parti jatuh atau tidak, itu tidak relevan kepada mereka. Mereka mesti berpaut kepada jawatan mereka dan mendapat segala keistimewaan," katanya.

Malah, hujung tahun lalu Dr Mahathir mengulangi kenyataannya tentang tanggapan kebanyakan rakyat yang melihat Umno dipimpin oleh orang yang korup.

SUMBER

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails