BREAKING NEWS

Mesej yang tidak mampu ditolak oleh orang Melayu

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menjadi popular dalam masa yang singkat kerana membawa mesej yang “tidak mampu ditolak orang Melayu”.

“Orang Melayu mana hendak tolak mesej PERKASA? (Pengerusinya Datuk) Ibrahim Ali datang berkata, dia datang sebagai orang Melayu, sebagai NGO yang berkecuali, tidak berpolitik, ahli parlimen bebas, (berkata) saya hendak mempertahankan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam.

“Siapa hendak kata tidak setuju? Jadi ramailah yang tertarik. Tidak ada sesiapa cakap macam ini sekarang. Jadi semua orang pergi (pada PERKASA),” kata Khairy ketika diminta mengulas penyertaan ramai ahli Umno dalam NGO itu.

NGO pimpinan ahli parlimen Pasir Mas itu dalam masa singkat meraih sokongan orang Melayu di seluruh pelusuk negara, sehingga menimbulkan tanggapan ia mampu mengambil alih peranan Umno yang dilihat tidak lagi agresif mendepani isu-isu kaum tersebut.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini minggu lalu, Khairy yang sejak awal enggan membandingkan langsung antara Umno dan PERKASA berkata, peranan mereka lebih menyeluruh daripada NGO tersebut.

“(Kita) bukan sahaja hendak mempertahankan (Melayu), tetapi kita juga hendak majukan orang Melayu, perkasakan bangsa mereka. Jadi mesejnya berbeza sepenuhnya,” katanya.

Menyifatkan dirinya sebagai radikal berhaluan tengah, Khairy berkata Umno yang telah mengharungi cabaran parti pelbagai aliran sejak daripada tahun 1946 lagi tidak akan terjejas dengan kehadiran PERKASA.

“PERKASA bukan kenderaan Umno. Kita yakin degan perjuangan kita sendiri. Umno sudah harungan semua ini bukan baru lagi, sejak tahun 1946.

“Zaman itu kita tewaskan British, haluan kiri, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Bustamam, haluan tengah, haluan kanan, semua haluanlah. Kita terus hidup,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Damansara.-mkini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails