MAFIABOSS2U:
KUALA LUMPUR, 13 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-anak
Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman bertegas akan mengambil tindakan
undang-undang terhadap pengurus Felda Lembah Klau dan juga pihak polis
ekoran tindakan mereka menahannya daripada mengadakan dialog bersama
peneroka.
Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, peguamnya,
Mohd Harris Abdullah sedang dalam proses memfailkan saman malu terhadap
kedua-dua pihak terbabit dan dijangka ianya akan mengambil masa lebih
kurang sebulan daripada tarikh beliau ditahan.
"Saya
mendapat nasihat daripada peguam saya untuk mengenakan tindakan saman
malu terhadap pengurus Felda dan pihak polis kerana telah memalukan dan
menjatuhkan maruah saya di hadapan khalayak ramai.
"Peguam saya akan tentukan jumlah saman yang akan dikenakan dan saya
berani katakan, jumlahnya melibatkan juta. Saya dilayan seperti seorang
penjenayah yang melakukan kesalahan besar sedangkan saya pergi ke Felda
Lembah Klau kerana menghadiri jemputan warga Felda," katanya dalam satu
sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, petang ini.
Selasa lepas, Mazlan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub ketika
membuat laporan polis berhubung tindakan pihak pengurusan Felda Lembah
Krau yang cuba menahannya daripada mengadakan dialog dengan penduduk
Felda berkenaan.
Beliau ditahan selama dua malam mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan
yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan dan
didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Insiden itu berlaku selepas Mazlan mengadakan satu majlis dialog di
rumah sebuah peneroka di Felda berkenaan lalu ada seorang pegawai Felda
datang menghalang kerana kononnya tidak mempunyai permit.
Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Raub dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin pada Khamis lepas.
Menurut Mazlan, ekoran insiden itu, Felda mengeluarkan satu surat
pekeliling yang melarang beliau masuk ke mana-mana Felda untuk
mengadakan dialog atau sebagainya.
"Ceramah saya malam ini pun terpaksa dibatalkan kerana pemilik
premis terbabit menerima pelbagai ugutan daripada pihak Felda agar
tidak membenarkan saya berceramah di situ.
"Mana perginya Fasal 10 Perlembagaan yang mengatakan kita ada hak untuk berhimpun?” soalnya.
Mazlan yang sudah berbelas tahun bergerak aktif dalam memperjuangkan
nasib peneroka Felda di seluruh negara bagaimanapun menegaskan tidak
akan berganjak daripda perjuangannya membela nasib peneroka yang
tertindas sejak sekian lama.
"Saya tidak akan berganjak daripada perjuangan saya membela warga Felda yang hanya menjadi pak turut kepda kerajaan selama ini.
"Sebagai ahli sebuah NGO yang berjuang untuk warga Felda, saya akan
terus memberikan maklumat kepda peneroka tentang hak mereka yang
dinafikan selama ini, terlalu banyak isu penyelewengan dalam Felda yang
disembunyikan kerajaan," tegasnya.
Ditanya mengenai status Anak yang dikatakan haram oleh ketua
penerangan Umno, Ahmad Maslan baru-baru ini kerana mendakwa telah ada
Majlis Belia Felda yang menguruskan kebajikan peneroka, Mazlan berkata,
ianya bukan isu utama sebaliknya apa yang diperjuangkan badan bukan
kerajaan itu harus diberi perhatian.
"Saya tidak mahu layan soal status haram atau tidak. Saya pun boleh
persoalkan NGO bawah mereka haram atau tidak. Apa yang penting Anak
ditubuhkan untuk membela nasib peneroka yang telah lama menjadi mangsa
penindasan kerajaan yang pentingkan keuntungan," katanya.-harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment