KOTA BHARU, 1 Nov: PAS tidak pernah mengadaikan prinsip perjuangan biar pun berkawan dengan DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat, kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ia berbeza jauh berbanding cara Umno berkawan dengan parti-parti bukan Melayu dalam gabungan Barisan Nasional (BN).
"Kita berkawan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat bagi sama-sama menentang
kezaliman yang berlaku dalam negara dan sama-sama berusaha menegakkan
keadilan untuk rakyat," kata Abdul Hadi.
"Sedangkan Umno berkawan dengan parti-parti bukan Melayu dalam
komponen BN sehingga sanggup mengadaikan prinsip perjuangan asal
mereka," kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada ceramah
sempena ulangtahun Pasti ke-25 di Dataran Warisan, perkarangan Stadium
Sultan Mohammad ke-IV di sini, malam semalam.
Sebelum ini beberapa pemimpin Umno mendakwa PAS mengikut
telunjuk DAP dalam Pakatan Rakyat sehingga sanggup mengadai prinsip
perjuangan asal parti itu.
Sambutan ulangtahun ke-25 Pasti diadakan di sini selama dua hari dan berakhir petang semalam.
Ribuan orang ramai hadir mengikuti ceramah tersebut biar pun pada awal malam hujan turun dengan lebatnya di Kota Bharu.
Hadir sama pada ceramah tersebut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz
Omar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasarudin Hassan, Ahli
Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua
Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.
Presiden PAS berkata, pendekatan yang digunakan PAS berkawan dengan DAP mengikut kaedah tahaluf siasi.
"Sebab itulah sekarang pemimpin DAP mudah yakin kepada PAS
kerana kaedah berpolitik yang diamalkan mementingkan soal dosa dan
pahala," tegasnya.
"Dengan kefahaman dosa dan pahalalah yang menyebabkan PAS mampu
bertahan lama kerana tidak mudah menjual prinsip perjuangan," ujar
Abdul Hadi.
"Contoh yang dapat dilihat di Kelantan apabila kerajaan PAS
pada penggal lalu hanya memerintah dengan kelebihan satu kerusi sahaja,
namun pemimpinnya istiqamah," kata presiden PAS.
Pada penggal lalu PAS mempunyai 23 Adun, manakala BN memenangi
22 kerusi di Kelantan. Biar pun kedudukan begitu genting namun Adun PAS
menolak segala tawaran melompat parti.
Nizar dalam ceramahnya pula memberitahu ketika Adun Pakatan
Rakyat masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak pada persidangan Dun
baru-baru ini, Menteri Besar BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sudah
selesai membentang bajetnya.
Katanya, Adun Pakatan Rakyat sengaja diperlambatkan memasuki
Dewan dengan pemeriksaan ketat anggota polis di dua tempat berasingan.
Menurut beliau anggota polis yang bertugas di dua check point
tersebut merampas kamera, komputer riba dan telefon bimbit yang dibawa
Adun Pakatan Rakyat.
"Ketika kami sampai ke dalam dewan Speaker Dun BN, Datuk R Ganesan telah menangguhkan persidangan," katanya.
_
Sumber:harakahdaily
No comments:
Post a Comment