Rakyat
Kelantan berpendapat, nasib kerajaan negeri Kelantan akan menuruti
jejak kerajaan PAS Terengganu sebelum ini apabila Umno menggunakan
sepenuhnya Wang Ehsan untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu.Dengan
keputusan pemberian Wang Ihsan bermakna, Umno negeri mempunyai sumber
kewangan yang lebih dari cukup untuk berbelanja bagi membeli 'hati'
rakyat Kelantan agar bersama mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Sejurus
kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai tuntutan
royalti minyak akan dibayar dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan
diumumkan, hampir 90 peratus dalam tinjauan The Malaysian Insider
terhadap rakyat negeri ini mengutuk kerana kecewa dengan keputusan
tersebut.
“Jelas, ini adalah keputusan politik.
Najib cuba membelitkan fakta untuk menipu kerajaan negeri dan rakyat.
Dia (Najib) ingat rakyat Kelantan ini bodoh. Sepatutnya dia lebih
berdedikasi dengan percaturan politiknya jika ingin berpolitikpun,”
kata seorang eksekutif di jabatan perkhidmatan awam.
Katanya,
manefestasi sikap kerajaan di bawah pimpinan Najib semakin terserlah
apabila sanggup mengingkari atau melanggar syarat perjanjian yang
telahpun termaktub berhubung hasil pengeluaran petroleum negeri.
Kerajaan
negeri telah membuat tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan pusat
pada awal tahun ini selepas menerima laporan daripada Bank Data
Malaysia 2007 yang menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam
industri petroleum bersama Sabah dan Terengganu dengan nilai
pertumbuhan sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak 37.5 peratus sejak
2004.
Mengikut fakta perjanjian yang
ditandatangani sekitar tahun 70-an oleh pengerusi Petronas, pada masa
itu Tengku Razaliegh Hamzah, bersama kerajaan-kerajaan negeri lain
berhubung perkara berkenaan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun
Abdul Razak, bahawa negeri terbabit berhak menerima royalti sebanyak 5
peratus hasil daripada pengeluaran petroleum yang merangkumi onshore
(daratan) serta offshore (lautan).
Namun pada
persidangan Dewan Rakyat malam semalam Najib mengumumkan Kerajaan
Persekutuan akan memberi wang ihsan kepada Kelantan hasil daripada
pengeluaran minyak negeri itu mulai tahun depan dan ianya akan
disalurkan dalam bentuk projek pembangunan.
Bagaimanapun
keputusan itu dipertikaikan oleh exco kerajaan negeri, Datuk Husam
Musa, kerana kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak ianya dibayar dalam
bentuk royalti.
Bekas Ketua Penerangan PAS Pusat,
Datuk Omar Mohammad, turut mempertikaikan keputusan Najib yang
bertentangan dengan Akta Petroleum 144 di mana di dalam perjanjiannya
tidakpun menyebut wang ihsan, tetapi ia disebut dengan royalti.
“Antara
ihsan dan royalti tak sama, pergi ke mana pun,” tegasnya sambil
menyifatkan tindakan Najib umpama mendera anak sendiri apabila cuba
meragut hak mutlak milik rakyat untuk kepentingan politik Umno.
“Apa
makna mereka buat begini? Menafikan royalti kepada duit ihsan, tapi
akan disalur dalam bentuk projek. Ini semua drama tipu muslihat politik
kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam usahanya untuk menawan
Kelantan. Saya rasa rakyatpun lebih faham,” jelasnya.
Katanya
juga, kerajaan BN sengaja ingin jadikan Kelantan menerusi isu terbabit
sama dengan Terengganu yang pernah dinafikan royaltinya semasa
pemerintahan PAS dulu.
Fakta ataupun sejarah
perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri (Terengganu) pada 22 Mac
1975 (payment undur section 4, Petroleum Development Act, 1974),
kerajaan negeri Terengganu telah menerima bayaran royalti selama lebih
kurang 22 tahun berjumlah RM7.2 bilion.
Namun
apabila PAS memerintah Terengganu selepas berjaya menumbangkan kerajaan
BN dalam Pilihan Raya Umum 1999, mulai 5 September 2000 royalti minyak
sebanyak 5 peratus ditukar kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP)
yang disebut sebagai wang ihsan.
Mengikut
laporan, Tan Sri Anuar Musa juga, pada 2001 pernah membuat pengakuan di
hadapan pelajar-pelajar pasca-siswazah Malaysia di Manchester bahawa
sekatan royalti minyak ke atas kerajaan negeri Terengganu adalah
tindakan politik.
Di samping itu, turut
didedahkannya ialah bahawa salah satu cara untuk menyusahkan kerajaan
Pas di Kelantan dan Terengganu adalah dengan melengah-lengahkan
pembayaran peruntukan kerajaan Pusat dengan tujuan supaya rakyat akan
beralih sokongan kepada Umno..themalaysianinsider.com
Post a Comment