|
|
KUALA LUMPUR, 26 Okt: Akta
yang melindungi pemberi maklumat tidak akan dapat memerangi rasuah jika
pelaku rasuah dilindungi, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
"Apa maknanya pemberi maklumat dilindungi kalau
perasuah juga kebal dari sebarang tindakan," katanya ketika diminta
mengulas tindakan Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini
yang mengalu-alukan janji Perdana Menteri untuk memperkenalkan Akta
'Whistleblower' tahun depan.
Mahfuz tidak percaya rasuah boleh diperangi dengan
tindakan-tindakan kosmetik sahaja sedangkan pada masa yang sama
"perasuah-perasuah terus menjadi pembesar negara dan dipilih pula
sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk membolehkan beliau kembali ke
dalam arus perdana politik.
"Semua itu hanya tindakan kosmetik untuk memperbaiki ranking Malaysia yang semakin merudum dalam indeks rasuah antarabangsa.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat terdesak kini dan memerlukan kosmetik seperti itu untuk meyakinkan pelabur," katanya.
Beliau mengambil apa yang berlaku di Perak sebagai gambaran terbaik mengenai rasuah di dalam negara ini.
"Sebelum
ini, ketika (Adun Behrang yang juga bekas Exco Perak) Jamaluddin Mohd
Radzi berada di dalam Pakatan Rakyat (PR), saksi utama Mohd Imran
Abdullah menyatakan Jamaludin meminta RM5,000 darinya dan dia telah
memberikan wang itu kepada Jamaludin untuk membantu meluluskan
projeknya itu di Pusat Bandar Seri Iskandar.
"Tetapi apabila Jamaluddin melompat menyokong Barisan Nasional
(BN) berikutan tuduhan rasuah terhadapnya, Mohd Imran yang dilaporkan
sebagai agen Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) tiba-tiba mendakwa
bahawa Jamaluddin tidak menerima sebarang rasuah dari beliau untuk
meluluskan projek itu.
"Apa yang berlaku itu memberikan gambaran yang jelas bahawa
sokongan atau kesetiaan kepada BN bukan sahaja boleh membebaskan
seseorang dari rasuah malah akan dipilih pula sebagai calon BN dalam
pilihan raya serta apa yang dilakukannya diisytiharkan sebagai bukan
kesalahan dari segi undang-undang negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok
Sena itu.
Ketika membentangkan Belanjawan 2010 Jumaat lalu, Najib yang
juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan memperkenalkan Akta
'Whistleblower' tahun depan manakala 14 Mahkamah Sesysen Khas Rasuah
dan empat Mahkmah Tinggi Khas Rayuan akan ditambah untuk memerangi
rasuah.
Akta 'Whistleblower' bertujuan melindungi pemberi maklumat.
Tidak diketahui apa yang berlaku kepada Akta Perlindungan Saksi
yang dilaporkan akan dibentang sebelum ini. Akta 'Whistleblower'
mungkin versi baru zaman Najib kepada Akta Perlindungan Saksi sebelum
ini.
_
Sumber:harakahdaily |
Tiada faedah Akta 'Whistleblower' jika perasuah dilindungi
Posted by Unknown on 8:02 PM in Perak Rasuah | Comments : 0
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment