Belanjawan
tahun 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri
Kewangan, Najib Abdul Razak memperlihatkan bagaimana kerajaan Barisan
Nasional mula mengatur langkah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Selain
pengagihan peruntukan yang cuba mengambil hati setiap kaum, Belanjawan
2010 yang bertemakan "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" ini juga menyahut
beberapa tuntutan politik, misalnya mengambil langkah memerangi rasuah
dengan penggubalan Whistle Blower Act dan penubuhan mahkamah khas kes rasuah.
Jelas,
belanjawan sulung Najib selaku PM ini bakal ditampilkan sebagai
belanjawan yang pragmatik oleh media arus perdana, lebih-lebih lagi
apabila pembangkang mahupun pemimpin Pakatan Rakyat memerlukan lebih
masa untuk mengkajinya. Najib bakal diraih dengan tepukan sekali lagi,
selepas Perhimpunan Agung UMNO ke-60 yang melabuh tirai pada minggu
lalu.
Menyentuh keperluan kaum
Dalam
persepektif masyarakat Cina yang berpendidikan Cina, pembinaan Sekolah
Rendah Jenis Kebangsaan sama ada Cina mahupun Tamil, telah dijadikan
kayu ukur sama ada kerajaan BN berlaku adil atau tidak kepada komuniti
etnik lain. Malah, peruntukan untuk pembinaan SRJK (c) baru (bukan
sekadar pemindahan) menjadi kayu ukur sama ada MCA
berperanan/berpengaruh atau tidak dalam kabinet.
Menambah-bina
SRJK(c) hanyalah janji yang ditaburkan ketika pilihan raya selama ini.
Selepas tamatnya penggal kerajaan, janji kekal sebagai janji, kemudian
diulang sebagai janji baru (manifesto) untuk mengaut undi. Adegan ini
terbongkar juga pada akhirnya, menjadi antara faktor yang menjurus
kepada tsunami politik pada 8 Mac 2008.
Kali
ini, Najib mengambil langkah bijak apabila mengumumkan sejumlah RM 1.6
bilion disediakan bagi pembinaan 80 buah sekolah baru serta 1,100 buah
blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah. Malah dinyatakan bahawa
peruntukan ini adalah untuk Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah,
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil
serta Sekolah Mubaligh (mission school), walaupun tanpa dinyatakan nisbahnya.
Najib
tidak lupa untuk memberi reaksi kepada tuntutan Parti Hak Asasi Manusia
(PAHAM) yang diketuai pemimpin Hindraf P. Uthayakumar, apabila RM 20
juta disediakan khas untuk usahawan kecil India (tambahan kepada RM15
juta yang sedia ada). Pada 13 Oktober, P.Uthayakumar mencadangkan
kepada kerajaan Najib agar menambah peruntukan pinjaman kepada
perusahaan kecil dan sederhana kaum India.
PRU
ke-12 yang menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat menyapu 10 daripada 11
kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut disentuh
keperluannya. "Tsunami politik" yang melanda ibu kota ini lebih
dijuruskan beban ekonomi yang menekan, masalah yang melangkaui semua
kaum, daripada hanya sentimen masyarakat bukan Melayu.
Justeru
itu, peruntukan RM48 juta disalurkan, bahkan kementerian yang bakal
bergelar Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ini
dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program membasmi kemiskinan
bandar, malah mensasarkan golongan yang berpendapatan kurang daripada
RM3000 sebulan.
Namun,
Najib tidak lupa untuk menabur peruntukan di kawasan luar bandar,
lebih-lebih lagi apabila kawasan ini merupakan kubu BN untuk
mengekalkan kuasa kerajaan di genggaman. RM2.3 bilion diperuntukkan
untuk menaik taraf infrastruktur kawasan luar bandar, malah RM857 juta
daripadanya telah disalurkan kepada Sarawak dan Sabah.
Menyahut tuntutan politik
Bukan
sekadar memenuhi keperluan ekonomi komuniti masing-masing, Najib yang
selama ini dikritik tidak bertekad untuk mereformasikan sistem politik,
seperti usaha membanteras rasuah, membuka ruang demokrasi, telah
mengumumkan penggubalan Whistle Blower Act dan penubuhan 14
buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan 4 buah Mahkamah Tinggi Khas
Rayuan Kes Rasuah, sebagai tambahan kepada 4 buah mahkamah yang sedia
ada di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Pakatan
Rakyat sememangnya boleh mempertikaikan bahawa langkah "reformasi
politik" Najib terlalu kurang untuk menjawab tuntutan masyarakat umum.
Malah, PR akan terus mempersoalkan keikhlasan dan keberkesanan kerajaan
Najib untuk menangani masalah rasuah kerana tidak bertekad untuk
"membebaskan" sistem kehakiman dari kawalan. Kes yang dirujuk adalah
kes Tian Chua, ahli parlimen Batu PKR yang dijatuhkan hukuman kerana
"menggigit polis", dan keputusan kerajaan untuk tidak mengambil
tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam Lingam Tape.
Malah, PR boleh terus dengan perjuangan "Akta Gaji Minima", namun ia mungkin tidak "populist"
kerana bukan semua kelas terutamanya peniaga menyetujuinya, walaupun
isu ini meresap ke dalam denyutan nadi golongan buruh yang terlibat.
Oleh
itu, tidak keterlaluan bahawa Belanjawan 2010 ini dikatakan sebagai
Belanjawan PRU ke-13, seandainya dibaca dalam konteks politik
Malaysia. PR berdepan dengan cabaran apabila tuntutan, dasar malah
slogan mereka diambil-alih oleh kerajaan Najib, walaupun pernah
dikritik tidak lama dahulu.
Apakah langkah PRU ke-13 semakin menghampiri?
*Analisa ini disusun daripada laporan-laporan MerdekaReview.
Sumber:detikdaily.net
Post a Comment