Ikhlas Syarat Capai Haji Mabrur
BOLEHKAH seseorang itu menunaikan haji berulang kali agar memperoleh haji mabrur? Apakah haji mabrur dan bagaimana pula balasannya. RASHID,
Johor Bahru, Johor
ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Boleh menunaikan haji lebih daripada sekali. Dalilnya ialah suatu ketika Rasulullah SAW berkhutbah: Sesungguhnya Allah mewajibkan kepada kamu sekalian haji. Seorang sahabat bernama al-Aqra Habis bertanya: Apakah pada setiap tahun, wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Seandainya aku mengatakannya, maka ia menjadi wajib.
Balasan haji mabrur dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Haji mabrur tiada balasan kecuali syurga. Yang dimaksudkan dengan haji mabrur di sini ialah haji yang diterima di sisi Allah SWT. Teks hadis yang lengkap iaitu seperti dalam Surah at-Tirmizi yang berbunyi: Iringilah antara haji dan umrah kerana keduanya menghapuskan dosa seperti ahli logam menghapuskan kotoran besi, emas dan perak. Haji mabrur tidak ada balasan kecuali syurga. Tidaklah seorang mukmin sepanjang hari berada dalam keadaan berihram melainkan dosa-dosanya terbenam bersama matahari.
Dari segi bahasa, kalimah mabrur diambil daripada kata akar iaitu barra yang mempunyai banyak makna. Antaranya syurga, benar, diterima, pemberian dan keluasan dalam kebaikan. Ulama berbeza pandangan mengenai pengertiannya. Dalam kitab Nayl al-Awthar, asy-Syaukani mengemukakan pandangan Ibnu Khalawayh bahawa haji mabrur adalah yang diterima Allah SWT (makbul).
Ulama lain pula berpandangan bahawa haji mabrur adalah haji yang tidak dicemari dosa. Pandangan ini dipilih dan dikuatkan oleh Imam an-Nawawi RHM. Imam Ahmad dan al-Hakim meriwayatkan daripada Jabir RA bahawa sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah haji yang mabrur itu? Baginda SAW menjawab: Memberi makan dan menyebarkan salam. Tetapi hadis ini dinilai lemah oleh beberapa ulama. Seandainya dipandang sahih, pengertian haji mabrur tidak memerlukan penjelasan lagi.
Imam al-Qurtubi mengemukakan bahawa pandangan mengenai pengertian haji mabrur saling berdekatan makna. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan, haji mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga dibuat secara sempurna seperti dituntut.
Sekiranya kesimpulan ini diterima, maka hendaklah diingat bahawa di sebalik hukum itu, ada makna yang mendalam yang perlu dihayati seseorang yang melaksanakan haji. Seperti ditulis Prof Abdul Halim Mahmud, seorang ulama besar al-Azhar yang berkata: Haji adalah himpunan daripada simbol kerohanian yang sangat indah. Ia dapat membawa seorang Muslim (bila mana dilaksanakan dalam bentuk dan cara yang sebenar-benarnya) akan masuk dalam lingkungan Ilahi (ketuhanan). Ketika itu sudah tentu seluruh aktivitinya tepat seperti dikehendaki Allah sehingga hajinya mabrur, iaitu benar, diterima dan dia akhirnya akan memperoleh syurga.
Sebenarnya, untuk memperoleh haji mabrur bukanlah dengan mengulang-ulang tetapi dengan menunaikannya dengan penuh keikhlasan, menggunakan harta yang halal, menunaikan rukun, syarat dan kewajipan haji, menunaikan semua sunnah dan berdoa agar hajinya diterima. Yang paling penting, selepas menunaikan ibadat haji, berlaku perubahan positif ke arah kebaikan dan ketakwaan. Demikianlah, wallahualam.
SUMBER: http://www.bharian.com.my/articles/Ikhlassyaratcapaihajimabrur/Article/
Mufti Terkejut Najib Dan Rosmah Selesai Menyempurnakan Ibadah Haji Dengan Begitu Cepat
KUALA LUMPUR 8 Nov: Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya melahirkan rasa terkejut bahawa perdana menteri, isterinya dan beberapa kenamaan lain selesai menyempurnakan ibadah haji.
Malaysiakini melaporkan Dr Juanda sebagai berkata, paling awal jemaah haji menamatkan ibadat mereka pada waktu Zohor hari ini, itupun sekiranya melakukan nafar awal iaitu selesai bermabit di Mina malam 11 dan 12 Zulhijjah dan melontar tiga jamrah pada dua hari berkenaan.
“Haji hanya akan selesai paling awal pada 12 Zulhijjah atau Selasa 8 November. Bagi yang melakukan Nafar Thani dan mahu melengkapkan tempoh bermabit dan melontar di Mina mereka akan selesai haji pada 9 November bersamaan 13 Zulhijjah.
“Melainkan kalau yang berkenaan tidak mahu menyelesaikan urusan wajib haji yang dua di atas dan hanya mahu membayar dam atau denda akibat tidak selesaikan wajib haji. Itu hal lain,” kata mufti itu dalam satu kenyataan.
Bernama pada Ahad lalu, melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor selesai menunaikan ibadah pada 6 November.
Laporan itu berdasarkan twitter Najib yang menulis: “Alhamdulillah urusan haji kami sudah selesai.”
Menunaikan rukun Islam kelima itu bersama Perdana Menteri ialah ibu beliau, Tun Rahah Mohamad Noah dan adik Najib, Datuk Mohamed Nazim, serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Andul Kadir.
Mengulas laporan itu, Juanda berkata pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan supaya rakyat tidak terkeliru.
“Sesuatu perlu diperjelaskan? Kita mahukan VVIP kita mendapat nasihat agama yang benar, bukannya hanya ikut ikutan sahaja.
“Jika tidak ia akan memalukan VVIP berkenaan dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya lagi.
aku pelik la korang semua ni. bia la..itu ibadah haji die. sah tak sah...tuhan yg tentukan...korang sakit ati sgt nape. poyo gle bloger2 PR nih...
ReplyDelete