|
Khabarnya lebih 10 ribu (baca: 3000) Pemuda UMNO yang sebelum ini
disifatkan sebagai pengecut oleh Ketua DPP Pusat, YB. Salahuddin Ayub
telah turun ke jalanan untuk berdemonstrasi. Amarah mereka telah
dipamerkan sebaiknya kepada US dan Israel.
Inilah peluang terbaik buat Khairy bagi membina karisma dan
imej sendiri di mata orang UMNO khasnya Pemuda UMNO sendiri. Jika
dahulu, dia banyak bergantung harap kepada nama bapa mertuanya, namun
kini dia perlu untuk bernafas sendiri. Ya, sudah tentu sahaja dia perlu
membina kekuatan sendiri setelah karisma Pak Lah "dikoyakkan" semahunya
oleh Tun Dr. Mahathir. Itu belum lagi dicampur dengan popularitinya
yang merosot akibat kenaikan harga minyak, tarif elektrik dan
sebagainya.
Demonstrasi Pemuda UMNO itu bermula dengan perhimpunan di
Masjid As-Syakirin dekat Menara Berkembar Petronas selepas solat Jumaat
sebelum berarak ke pusat konvensyen itu – tempat berlangsungnya Forum
Rantau Asean ke-13 (ARF) yang dihadiri Rice. Setiba di situ, Khairy
yang tangan kirinya masih berbalut anduh kerana cedera terjatuh kuda
baru-baru ini, meminta Rice keluar dan menerima memorandum bantahan
itu. Sambil berjalan ke sana-sini Khairy melaung-laungkan kutukan dan
kritikan kepada US dan Israel.
Berdepan Polis merempuh masuk?
Khairy juga meluru masuk ke tempat persidangan, kononnya untuk
menghantar memorandum kepada Rice. Perkara yang cukup ajaib adalah
beliau hanya ditolak oleh FRU tanpa dipukul ataupun dilemparkan gas
pemedih mata. Teringat saya akan peristiwa 'Bloody Sunday' apabila
ratusan rakyat dipukul hingga pecah kepala, disembur gas pemedih mata
dan air pedih-gatal, disepak dan sebagainya oleh pihak FRU. Ya, nyawa,
maruah dan keselamatan rakyat kebanyakan tidak penting bagi polis.
Namun, polis mana, dari bahagian mana, SB mana yang berani memukul
Khairy si menantu PM semalam? Inilah sikap 'double standard' yang
sekian lama diamalkan.
Tepatkah tindakan Khairy mengheret Pemuda UMNO dan Pemuda
Barisan Nasional untuk berdemonstrasi? Apakah dia tidak sedar akan
kedudukan UMNO-Barisan Nasional dalam negara Malaysia sekarang? Adakah
Barisan Nasional sedang memerintah dan berkuasa ataupun menjadi parti
pembangkang saat ini? Khairy, mengapa tidak pujuk ataupun "arahkan"
sahaja Pak Lah untuk menghalang Rice, Si Pembunuh Umat Islam daripada
menjejakkan kaki ke tanah air kita? Namun, jika Rice tidak datang,
tiadalah pula peluang untuk menonjolkan diri.
Pemuda UMNO mengutuk tindakan zalim US dan Israel. Tahniah dan
syabas kepada mereka. Namun, dalam usaha mengkritik kezaliman orang
lain, maka perlu untuk dimuhasabahkan diri sendiri juga. Bilakah
agaknya UMNO-Barisan Nasional akan membebaskan semua tahanan ISA yang
semakin hari semakin rindu kepada anak isteri? Zalim untuk kita
memisahkan suami dengan isteri dan anak-anak mereka. Zalim yang teramat
sangat!
Demonstrasi bukan budaya kita
Suatu ketika dahulu, Gagasan MAHASISWA pernah mendengar Dr.
Mahathir, legenda UMNO berkata bahawa budaya berdemonstrasi bukanlah
budaya orang kita. Malahan beberapa orang pimpinan kerajaan baru-baru
ini juga mengulangi bahawa demonstrasi dan tunjuk perasaan bukanlah
budaya Malaysia. Jadi, apakah niat dan matlamat Khairy? Mahu menabrak
"budaya" kita?
Di tempat yang berlainan pula iaitu di Masjid Kampung Baru, PAS
dan gabungan NGOs telah memimpin umat Islam seramai 50 ribu untuk
menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika. Namun, seperti biasa
sahaja apabila tiada satu pun berita tentang himpunan umat Islam ini
dipaparkan oleh media arus perdana. Memang tepat tindakan media untuk
tidak menyiarkan berita perhimpunan ini kerana demonstrasi bukanlah
budaya "kita".
Akan tetapi, apa jua niat dan matlamat masing-masing semalam
kita serahkan kepada Allah S.W.T untuk menilainya. Hanya Allah yang
mengetahui setiap yang kita zahirkan ataupun terdetik dihati. Pastinya
juga, kita akan terus berdoa buat umat Islam di Palestin dan Lubnan.
Diharapkan agar mereka terus kuat dan tegar menentang Yahudi laknat!
Sumber:harakahdaily.net
|
|
No comments:
Post a Comment